PASIR GUDANG: Satu sidang Parlimen khas untuk mengemukakan usul undi percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu diadakan segera bagi membuktikan beliau mempunyai sokongan sebagai Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sidang khas Parlimen itu tidak perlu menunggu sehingga 6 September kerana amat penting untuk segera diadakan bagi menentukan keabsahan beliau.
Menurut beliau, Muhyiddin sudah kehilangan majoriti sokongan apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yacob mengadakan sidang akhbar semalam sekali gus mendedahkan jumlah sebenar ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menyokong Perdana Menteri.
“Daripada perkiraan yang mudah tanpa perlu menjadi pakar matematik, Ismail Sabri dengan tanpa sengaja dan bukan niatnya telah mendedahkan sejelas terang hablur kristal bahawa Ahli Parlimen Pagoh, Mahiaddin Yassin telah hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
“Dalam situasi seperti ini, jika di dunia perundangan dipanggil judicial notice, adalah tepat sekali jika sidang Parlimen disegerakan. Persidangan bermula pada 6 September itu, boleh dikekalkan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Semalam, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO mengadakan sidang akhbar bersama Ahli Parlimen UMNO dan BN menyatakan pendirian untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri.
Seramai 31 ahli Parlimen UMNO dan BN hadir, mereka semua yang tersenarai menyokong Muhyiddin itu bersetuju agar usul percaya dibentang dan dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat, September ini.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, peruntukan untuk memanggil sidang Parlimen khas itu ada dalam Peraturan Mesyuarat 11(3) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Tidak rumit, Perdana Menteri maklumkan sahaja kepada Speaker untuk memanggil sidang awal tersebut untuk dibentangkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.
“Peguam Negara juga perlu memainkan peranan secara profesional dan berani dengan menasihati Perdana Menteri supaya patuh kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 43(4).
“Peruntukan itu menyatakan jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri dan jemaah menteri perlu meletakkan jawatan dan usul undi percaya tidak lagi perlu dibentangkan,” jelasnya.
Sehubungan itu Hassan memberitahu, bagi memecahkan kebuntuan tersebut tiga perkara boleh dilakukan iaitu Perdana Menteri meletak jawatan secara sukarela, mengadakan sidang khas Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan. – UTUSAN ONLINE