NIBONG TEBAL: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pihak berkuasa berkaitan menyiasat dan menyelesaikan segera masalah pencemaran air dari Parit D3 – Paya Mahang di Seberang Perai Selatan (SPS) di sini.
Presidennya, R. Meenakshi berkata, pencemaran air parit terbabit yang kotor, berbau, berkelodak dan seakan-akan berminyak dapat dilihat dengan jelas dari jalan utama di kawasan tersebut.
Menurut beliau, pihaknya telah membangkitkan isu itu kepada pihak-pihak berkenaan, namun tiada tindakan berkesan diambil sehingga kini.
Malah jelasnya, apa yang dapat dilihat ketika ini juga ialah kualiti air semakin buruk dan saliran air dari parit yang tercemar itu menuju ke lembangan Sungai Jawi seterusnya ke muara Sungai Jawi dan akhirnya ke laut.
“Maklum balas yang diterima kita daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ialah antara punca parit menjadi hitam dan kotor adalah disebabkan berlakunya aktiviti penternakan babi di persekitaran Parit D3 (Paya Mahang).
“Malah dilaporkan air dari ladang ternakan berkenaan mengalir secara terus ke dalam parit berdekatan dan seterusnya masuk ke dalam parit yang dimaksudkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Meenakshi, adalah jelas pencemaran di parit itu sudah lama berlaku dan diketahui pihak berkuasa namun masalah tersebut seolah-olah tiada kesudahan.
“Kita percaya jika masalah pencemaran di Parit D3 ini dibiarkan berterusan tanpa sebarang kawalan dan penguatkuasaan, maka sampai bila-bila pun perkara ini tidak akan selesai.
“Sebaliknya, masalah ini akan menjadi lebih rumit dan menelan kos yang sangat tinggi sekiranya projek pemulihan dirancang oleh pihak kerajaan negeri pada masa akan datang,” katanya.
Sehubungan itu tambahnya, SAM menyarankan pihak berkuasa berkaitan mengadakan operasi bersepadu serta mengenakan tindakan yang lebih tegas dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan pencemaran tersebut. – UTUSAN ONLINE