GEORGETOWN: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang berharap kerajaan Pusat akan menyenaraikan Pulau Pinang sebagai destinasi gelembung pelancongan bagi memulihkan industri pelancongan di negeri ini yang terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19.
Pengerusinya, K. Raj Kumar berkata, kerajaan terdahulu sebelum ini merancang menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan, namun, Pulau Pinang tidak tersenarai di dalam projek itu.
Katanya, Pulau Pinang juga mempunyai kawasan peranginan melibatkan pantai seperti di Batu Ferringhi yang sesuai untuk disenaraikan sebagai destinasi gelembung pelancongan seperti mana Pulau Langkawi.
“Kami berharap kerajaan Pusat yang baharu ini akan memberikan tumpuan
serta sokongan kepada industri pelancongan di Pulau Pinang yang merupakan antara penyumbang kepada ekonomi negara.
“Kami memohon destinasi gelembung pelancongan turut dilaksanakan di Pulau Pinang kerana negeri ini mempunyai destinasi pelancongan pantai sama seperti Pulau Langkawi,” katanya selepas merasmikan program program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MAH Pulau Pinang di sini hari ini.
Menerusi program CSR itu, MAH Pulau Pinang menyampaikan 600 bakul asas makanan kepada 40 buah hotel di negeri ini untuk diedarkan kepada para pekerja industri perhotelan yang terkesan dari segi ekonomi akibat pandemik Covid-19.
Menurut beliau, hotel-hotel di kawasan pantai seperti di Batu Ferringhi perlu dibantu menerusi program destinasi gelembung pelancongan bagi mengurangkan beban operasi hotel berkenaan yang tinggi.
“Semua maklum hampir dua tahun hotel tidak dapat meneruskan operasi seperti biasa, namun kos penyelenggaraan dan lain-lain kos perlu ditanggung oleh penggiat industri.
“Hotel di kawasan pantai lebih tinggi kos operasinya, jadi kami harap kawasan Batu Ferringhi turut dapat disenaraikan sebagai destinasi gelembung pelancongan,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya juga berharap prosedur operasi standard (SOP) berkaitan operasi hotel yang mengelirukan dapat dikaji semula oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Banyak SOP yang amat bercelaru, ada SOP yang mulanya dikeluarkan oleh MKN, namun kemudiannya diubah semula oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)
“Sebagai contoh, pembukaan kolam renang awam yang mana SOP MKN membenarkannya, tetapi SOP MOTAC pula sebaliknya, perkara ini amat mengelirukan,” katanya. -UTUSAN ONLINE