KOTA KINABALU: Kerajaan negeri masih menguatkuasakan sekatan rentas daerah di Sabah berikutan peningkatan kes harian Covid-19 sejak beberapa minggu ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, biarpun banyak kawasan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) namun, kes Covid-19 terus meningkat.
“Maka, pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) akan diteruskan kerana aktiviti rentas daerah masih belum dibenarkan.
“Oleh itu, rakyat di negeri ini dinasihatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Ahad, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kebenaran rentas daerah bagi individu yang sudah lengkap divaksin di negeri-negeri yang berada di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Berdasarkan SOP Fasa 2 PPN yang dikemas kini semalam menyatakan sekatan rentas daerah di Sabah masih berkuat kuasa kecuali bagi kes kecemasan, urusan kerja (dengan surat majikan), janji temu vaksinasi Covid-19 dan sektor perkhidmatan perlu.
Mengikut SOP yang dikemas kini semalam, pergerakan rentas negeri dibenarkan bagi bagi kes kecemasan, pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang ingin berjumpa anak berumur di bawah 18 tahun dengan syarat perlu mendapat surat kebenaran daripada polis.
Jelas Hajiji, langkah lain yang diambil bagi menangani penularan wabak Covid-19 termasuk memberikan vaksin kepada orang ramai dengan secepat mungkin serta memastikan SOP ditetapkan dipatuhi pada setiap masa.
“Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak berhimpun beramai-ramai pada masa ini. Kita berharap rakyat lebih berdisiplin dalam mematuhi SOP yang ada kerana ini sahaja cara untuk melandaikan lekuk Covid-19,” katanya.
Sehingga semalam, seramai 1.22 juta atau 44.5 peratus rakyat Sabah yang berusia 18 tahun dan ke atas menerima vaksin dos pertama.- UTUSAN ONLINE