KOTA KINABALU: Penurunan kes positif Covid-19 hanya akan dapat dilihat apabila proses vaksinasi di negara ini mencapai 80 peratus.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Kanan dan Ketua Unit Kesihatan Awam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk Dr. Mohd. Yusof Ibrahim berkata, ketika kes Covid-19 harian mencecah 20,000 kes, usaha mempercepatkan vaksinasi dilihat mampu menstabilkan semula kes di negara ini.
Pada masa ini, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes dan faktor penting adalah varian baharu yang lebih agresif dan merebak dengan pantas.
“Memandangkan jangkitan sudah berada dalam komuniti maka, langkah melaksanakan lockdown bersasar dilihat masih berkesan bagi menangani penularan jangkitan Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Biarpun kes dijangka menurun selepas 80 peratus penduduk di negara ini divaksin namun, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu terus diamalkan.
Hari ini, sebanyak 20,596 kes positif Covid-19 dilaporkan di seluruh Malaysia dan Sabah merekodkan 1,062 kes.
Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan hari ini berkata, proses vaksinasi di Sabah ketika ini sudah mencapai 46,840 dos sehari.
“Seperti dinyatakan sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) berupaya memberikan vaksin sehingga 60,000 dos sehari. Namun, ia bergantung kepada bekalan vaksin yang tersedia dan penghantaran vaksin ke Sabah.
“Jika bekalan vaksin mencukupi dan bekalan dihantar mengikut seperti dijadualkan, JKNS boleh mengekalkan momentum melaksanakan pemberian vaksin dengan kadar yang pantas seperti sekarang,” katanya.
Sehingga semalam, sebanyak 1.38 juta dos vaksin diberikan di Sabah iaitu 967,555 dos pertama dan 415,638 dos kedua.
Melalui perkembangan itu, 60 peratus rakyat Sabah dijangka akan memperoleh vaksin yang lengkap (dua dos) menjelang 21 September ini.- UTUSAN ONLINE