KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah sudah mula menerima bekalan vaksin dos tunggal, CanSino bermula pada minggu ini dengan penghantaran kumpulan pertama sebanyak 53,000 dos.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Rose Nani Mudin berkata, Sabah dijangka menerima lebih banyak bekalan vaksin dos tunggal ini pada bulan depan.
Beliau berkata, penghantaran lebih banyak vaksin ke Sabah akan membolehkan lebih ramai penduduk di negeri ini menerima vaksin.
Sehingga Isnin, seramai 1.46 juta penduduk dewasa Sabah menerima dos pertama manakala, 866,228 orang lagi menerima dua dos vaksin yang lengkap.
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan kerajaan negeri akan terus memastikan kadar vaksinasi di Sabah terus dipertingkatkan melalui program vaksinasi seperti jerayawara di kawasan pedalaman serta membenarkan walk-in di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memberi peluang kepada rakyat Sabah divaksin.
“Saya menyeru agar semua rakyat Sabah mengambil vaksin kerana ia telah terbukti dapat melindungi seseorang individu daripada dijangkiti. Sekiranya dijangkiti Covid-19 sekalipun, gejala yang diperoleh tidak teruk berbanding individu yang tidak divaksin,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Rose Nani berkata, ketika ini Sabah berhadapan dengan masalah ujian saringan tertunggak berikutan pengesanan individu bergejala dan kontak rapat yang sedang dijalankan.
Justeru, sampel saringan semakin banyak perlu diuji dan keadaan ini menyebabkan bebanan kerja di makmal ujian Covid-19 bertambah.
Maka, JKNS sedang berusaha mengurangkan saringan tertunggak dengan mendapatkan bantuan sumber luar di makmal swasta, meningkatkan bilangan kakitangan menjalankan ujian di Makmal Kesihatan Awam serta melanjutkan waktu bekerja kakitangan makmal. – UTUSAN ONLINE