Ramai ambil peluang perbaharui lesen, cukai jalan - Utusan Malaysia

Ramai ambil peluang perbaharui lesen, cukai jalan

Hanif Yusabra Yusuf
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sebanyak 1,842 kenderaan masuk ke kaunter pandu lalu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan yang dibuka di Panji di sini, sejak dua minggu lalu bagi memperbaharui lesen dan cukai jalan.

Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, orang ramai dilihat mengambil peluang dalam tempoh yang ada untuk memperbaharui lesen dan cukai jalan bagi mengelak dikenakan tindakan kompaun.

Ini kerana kerajaan tidak akan melanjutkan tempoh moratorium pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu Malaysia (LMM) termasuk lesen vokasional (GDL/PSV) yang berakhir 31 Ogos ini.

“Sejak dibuka 15 Ogos lalu, kaunter pandu lalu PJ Kelantan berjaya mengutip sebanyak RM140,600 dan ketika tempoh moratorium berbaki lima hari lagi, sambutan diterima amat menggalakkan.

“Pemandu kenderaan yang hadir ke JPJ Kelantan sanggup berbaris panjang untuk memperbaharui lesen dan cukai jalan kerana kaunter ini memudahkan mereka berbanding jika berurusan di kaunter JPJ biasa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan agihan 500 Jalur Gemilang kepada orang ramai bersama komposer terkenal, Datuk Eddie Hamid di pekarangan JPJ Kelantan, Panji di sini hari ini.

Hanif Yusabra dalam pada itu berkata, JPJ Kelantan kini menjalankan program pemotongan kompaun sebanyak 70 peratus terhadap pengguna jalan raya bermula sejak 18 Ogos lalu hingga 19 September depan.

“Pengurangan itu diberikan kepada kompaun JPJ kecuali kes mahkamah yang berstatus waran tangkap atau perbicaraan. Pada tahun lalu, kita berjaya mengutip RM718,768 menerusi program ini.

“Sementara itu pada tahun ini pula kita menyasarkan sebanyak RM600,000 kutipan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya