Pulau Pinang mahu jumpa Reezal Merican pantas bincang isu perumahan - Utusan Malaysia

Pulau Pinang mahu jumpa Reezal Merican pantas bincang isu perumahan

JAGDEEP Singh Deo dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan mengejut di tapak pembinaan projek perumahan di Gelugor, Pulau Pinang hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang berharap dapat mengadakan pertemuan segera dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan baharu, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican khususnya bagi membincangkan isu-isu berkaitan perumahan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, kerajaan negeri sebelum ini mempunyai hubungan yang baik dengan bekas menteri berkenaan, Datuk Zuraida Kamaruddin dan berharap serta yakin hubungan sama dapat dikekalkan dengan Reezal Merican.

Jelasnya, beliau akan mengutuskan surat rasmi kepada kementerian itu hari ini bagi memohon supaya pertemuan tersebut dapat diadakan beserta beberapa isu yang akan dibangkitkan kelak.

“Seperti yang saya sering nyatakan, kita tidak boleh mempolitikkan isu berkaitan perumahan rakyat dan kita berharap hubungan serta kerjasama yang baik dengan kementerian itu sebelum ini dapat diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan mengejut di tapak pembinaan projek perumahan di Gelugor, di sini hari ini.

Dalam pengumuman menteri-menteri baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri semalam, Reezal Merican yang sebelum ini merupakan Menteri Belia dan Sukan bertukar portfolio kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggantikan Zuraida yang kini mengetuai Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Dalam pada itu, Jagdeep berkata, antara isu yang akan dibangkitkan dalam pertemuan dengan Reezal Merican kelak adalah berkenaan jumlah rumah mampu milik yang bakal disediakan kerajaan Pusat untuk penduduk Pulau Pinang.

Jelasnya, kerajaan negeri setakat ini sudah membina hampir 120,000 unit rumah mampu milik itu dan akan berusaha keras untuk mencapai sasaran sebanyak 220,000 unit menjelang 2030.

“Kita mahu tahu apa perancangan kerajaan Pusat untuk membina rumah mampu milik itu untuk penduduk Pulau Pinang dan kita beranggapan negeri ini berhak mendapat perhatian itu kerana kita merupakan pembayar cukai terbanyak kepada kerajaan walaupun kita sebuah negeri kecil,” katanya.

Dalam masa sama ujarnya, beliau juga akan membangkitkan mengenai peruntukan kerajaan Pusat kepada Pulau Pinang bagi kerja-kerja penyelenggaraan perumahan bertingkat di negeri itu.

Ujarnya, Pulau Pinang sebelum ini menerima peruntukan sebanyak RM30 juta daripada kementerian berkenaan sebelum ini bagi kerja-kerja penyelenggaraan itu membabitkan pembaikan lif; menaik taraf bumbung; menggantikan tangki air baharu dan sebagainya.

Bagaimanapun, ujarnya, jumlah itu jauh lebih rendah berbanding sebanyak RM300 juta yang disediakan kerajaan negeri sendiri bagi kerja-kerja terbabit.

“Oleh itu, kita telah memohon peruntukan sebanyak RM100 juta daripada kerajaan Pusat bagi kerja-kerja penyelenggaraan itu untuk tahun hadapan dan berharap mendapat kelulusan daripada kerajaan baharu ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya