BALIK PULAU: Seorang peniaga buah tempatan di daerah ini menarik perhatian ramai apabila mempamerkan kreativiti tersendiri dengan menggantung dan mengikat hasil jualannya pada badan.
Biarpun kelihatan pelik, tetapi usaha Ahmad Izan Latip, 46, itu bukan sahaja mencuri tumpuan malah turut mencuit hati pengguna jalan raya di hadapan Masjid Daerah Barat Daya di sini.
Isterinya yang juga peniaga buah, Siti Zubaidah Mat, 29 berkata, idea kreatif suaminya itu bertujuan mempromosikan produk buah-buahan bermusim selain hasil pertanian yang sukar ditemukan di tempat lain.
Menurutnya, lebih 10 pilihan buah tempatan seperti dokong; jentik; setoi; tampoi; rambai dan pulasan kini dipasarkan di gerai jalanan diusahakan mereka sejak lima tahun lalu.
“Kebanyakan buah-buahan yang sukar dicari ini diperoleh di dalam hutan di Jeniang dan Baling, Kedah serta di sekitar daerah ini (Balik Pulau).
“Pada mulanya tindakan suami mendapat kecaman segelintir orang awam berikutan buah yang digantung pada badan dikatakan tidak sesuai dengan keadaan pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.
“Buah yang digantung itu hanyalah sekadar hiasan dan tidak akan dijual semula. Pelanggan ke sini berpeluang menikmati buah-buahan segar yang dipasarkan secara lambak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Katanya, kreativiti suaminya itu juga adalah sekadar menarik perhatian pelanggan sekali gus dapat mengenali buah-buahan tempatan.
Malah jelasnya, usaha itu berbaloi apabila hasil jualan mereka mendapat sambutan dan menjadi pilihan ramai.
“Kira-kira 25 bakul buah manggis dengan anggaran 400 kilogram habis dijual dalam tempoh dua hari.
“Jualan buah memang tak dak (tiada) masalah biarpun ketika pandemik Covid -19. Cuma kira-kira 80 peratus pelanggan kini memilih buah pada harga murah iaitu sekitar RM10 bagi tiga hingga lima kilogram buah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE