GEORGETOWN: Polis sedang mengenal pasti identiti tiga mangsa yang rentung dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios yang terbakar selepas melanggar sebatang pokok di Jalan Masjid Negeri, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketiga-tiga mangsa didapati terbakar kira-kira 90 peratus.
Tambah beliau, pihaknya juga masih melakukan siasatan lanjut berhubung punca sebenar kejadian tersebut.
Jelas Soffian, pihaknya yang mendapat maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3.05 pagi dan mendapati kereta berkenaan hangus sebanyak 90 peratus.
“Berdasarkan pemeriksaan awal, terdapat tiga mayat iaitu masing-masing di tempat duduk pemandu, tempat duduk penumpang hadapan dan tempat duduk belakang.
“Mayat mangsa telah berjaya dikeluarkan daripada kereta kira-kira pukul 5.40 pagi dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Soffian meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian termasuk dan kehilangan ahli keluarga menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nizam Abdullah di talian 010-9771517 atau balai polis terdekat bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, dia yang berada berhampiran lokasi ketika kejadian terkejut selepas mendengar bunyi dentuman yang kuat ketika kereta Toyota Vios terbabit merempuh sebatang pokok kira-kira pukul 2 pagi.
Katanya, ketika menghampiri untuk membantu mangsa, dia melihat percikan api dari bahagian depan kenderaan terbabit yang kemudiannya merebak menjadi lebih besar.
“Saya kemudian berlari ke sebuah stesen minyak berdekatan dan mengambil alat pemadam api untuk memadam kebakaran tetapi api terlalu marak dengan cepat.
“Malah, ketika pasukan bomba tiba tidak lama selepas itu juga kereta terbabit bersama penumpangnya sudah hangus hampir sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE