GUA MUSANG: Aliran trafik di pintu masuk Kelantan melalui sekatan jalan raya (SJR) di daerah ini tidak berubah pada hari pertama kebenaran rentas negeri dan daerah kepada individu yang lengkap divaksin di negeri-negeri fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya bagaimanapun tetap meningkatkan pemeriksaan ke atas semua kenderaan yang ingin memasuki Kelantan melalui dua SJR di sini.
Katanya, anggota keselamatan bertugas akan memastikan semua pengguna jalan raya yang melalui SJR terbabit membawa dokumen seperti sijil vaksinasi yang tulen.
“Setakat tengah hari ini, jumlah kenderaan di laluan ini didapati tidak ada pertambahan dengan aliran trafik juga normal walaupun hari ini merupakan cuti umum sempena Awal Muharam,” katanya.
Beliau ditemui ketika turun padang meninjau pergerakan kenderaan dari luar yang ingin memasuki negeri ini di Kilometer 7, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di SJR Kampung Tanah Putih, di sini hari ini.
Choon Foo dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil kesempatan di atas kelonggaran yang diberi kerajaan.
“Tindakan tegas seperti kompaun dan diarahkan patah balik akan dikenakan kepada pengguna jalan raya yang dikesan memalsukan sijil vaksinasi,” katanya. -UTUSAN ONLINE