PFS 2021 galak siswazah ceburi perniagaan francais - Utusan Malaysia

PFS 2021 galak siswazah ceburi perniagaan francais

HASNOL Zam Zam Ahmad berucap merasmikan PFS 2021 secara maya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Kerajaan menyokong penuh pembangunan industri francais secara norma baharu khususnya dalam kalangan siswazah bagi memastikan aktiviti pembangunan kepimpinan dan keusahawanan mahasiswa dapat diteruskan walaupun dikekang pandemik Covid-19.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata,  penganjuran Program Francais Siswa (PFS) 2021 misalnya mencerminkan komitmen kerajaan dalam usaha menarik lebih ramai usahawan terutamanya mahasiswa menceburi perniagaan francais.

“Saya melihat Program Francais Siswa ini adalah medium signifikan untuk melahirkan bukan sahaja usahawan biasa tetapi generasi francisor akan datang yang akan membimbing francaisi di bawah kepimpinannya dan membawa jenama Malaysia ke persada antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program itu secara maya di sini hari ini yang turut disertai 500 peserta daripada 20 buah universiti awam dan tiga politeknik premier.

Peserta PFS 2021 akan bersaing dalam Cabaran Niaga Francais untuk merebut geran pembangunan perniagaan francais bernilai sehingga RM100,000 di bawah KPDNHEP.

Sementara itu, Bahagian Pembangunan Francais dan Jualan Langsung KPDNHEP berkata, penglibatan institusi pengajian tinggi dalam program itu adalah usaha merealisasikan hasrat pertumbuhan lebih banyak francais mikro dan francais mampu milik sekali gus membantu mahasiswa serta negara.

“Selain dapat menarik lebih ramai usahawan menceburi perniagaan francais, usaha ini akan membuka dan mencipta peluang pekerjaan baharu di kala negara menghadapi cabaran ekonomi berikutan pandemik Covid-19 yang melihat peluang pekerjaan yang terhad,” katanya.

PFS adalah untuk merealisasikan inisiatif kerajaan bagi membangunkan perniagaan francais berkonsep mikro dan mampu milik, iaitu pakej perniagaan francais bernilai RM50,000 dan ke bawah (mikro) serta RM100,000 dan ke bawah (mampu milik), bagi melahirkan lebih ramai usahawan francais. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya