SEREMBAN: Seorang pengkaji sejarah tempatan dan pemburu barangan antik di sini mempunyai koleksi peta Ortelius yang menunjukkan lakaran geografi meliputi keseluruhan Asia termasuk kepulauan Nusantara pada tahun 1570.
Menurut Wan Ahmad Arshad, 55, peta yang dicipta oleh Abraham Ortelius itu telah dibeli dari seorang pengumpul barangan lama yang lain.
“Lakaran yang terdapat dalam peta Ortelius ini mempunyai keunikan tersendiri, ia merupakan peta moden Asia terawal dilakarkan walaupun daripada sudut topografi dan saiz yang tidak tepat. Kepulauan Jawa jelas kelihatan lebih besar daripada saiz sebenar.
“Di dalam peta itu, terdapat juga peta Jepun Kuno, Wales, benua Afrika, Amerika, Eropah, Asia, Jazirah Arab, India dan China,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Tasik Jaya, dekat sini, kelmarin.
Menurut Wan Ahmad, peta tersebut merupakan antara koleksi paling berharga miliknya dan jika ada permintaan ia hanya akan menjualnya kepada mana-mana agensi atau universiti sebagai sumbangan kepada dunia akademik.
Sementara itu, katanya, dia turut mempunyai koleksi peta Tanah Melayu terbitan Jabatan Geologi dan Pemetaan Persekutuan Tanah Melayu yang dicetak sekitar tahun 1850 hingga 1930.
“Ia berkait dengan pelbagai aspek sosio ekonomi seperti taburan mineral serta taburan penduduk berasaskan sensus dan pengangkutan,” katanya.
Selaku pemilik Galeri Pusaka Moyang (GPM), Wan Ahmad turut memiliki ribuan koleksi peta, dokumen, akhbar-akhbar lama, piring hitam, setem dan filateli serta koleksi manuskrip dan artifak tamadun Melayu Islam berusia ratusan tahun.
“Saya juga turut memiliki kamus Melayu lengkap yang diyakini sebagai tertua di dunia kerana dikeluar dan diterbitkan pada 1631 iaitu lebih 390 tahun lalu.
“Kamus Malay-Latin itu mengandungi 10,000 perkataan bahasa Melayu lama disusun Sarjana Inggeris Davidis Heax dan diterbitkan pada 1631 di Rome, Itali. Naskhah ini dikenal pasti merupakan kamus bahasa Melayu tertua setakat ini,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Wan Ahmad dia telah berhenti kerja dalam bidang perhotelan pada tahun 2000
kerana mahu menumpukan sepenuh masa bagi mengumpulkan barang-barang lama.
“Pada masa itu, saya teruja kerana mempunyai koleksi al-Quran lama pada tahun 1309 tinggalan keluarga kerana ia merupakan warisan pengasas kerajaan Turki. Bermula daripada situ, saya minat untuk mengumpul manuskrip lama sehingga saya jadikan ia sebagai satu kerjaya.
“Kesemua barangan antik dan naskhah ini mempunyai nilai sejarah yang tinggi dan saya juga kini mula berjinak-jinak dalam penyediaan video di YouTube bagi tujuan mendigitalkan semua koleksi manuskrip lama yang disimpan,” katanya. -UTUSAN ONLINE