SEREMBAN: Bagi menyemarakkan semangat kecintaan kepada negara, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Marida, Senawang dekat sini mengadakan pertandingan rumah berhias bertemakan kemerdekaan sempena Hari Kebangsaan ke-64 tahun ini.
Pengerusi KRT Taman Marida, Mohd. Rafi Ismail berkata, pertandingan buat julung kalinya diadakan itu adalah bagi menaikkan semangat patriotisme penduduk taman berkenaan.
“Idea ini melalui ahli jawatan kuasa yang mahu menjalankan aktiviti bersama penduduk secara norma baharu dan bagi mengisi waktu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Program ini dijalankan secara dalam talian dan penduduk hanya perlu menghias rumah masing-masing dengan Jalur Gemilang secara kreatif dan ahli jawatankuasa akan datang mengambil gambar untuk dijalankan undian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Mohd. Rafi, sebanyak 32 buah rumah menyertai program tersebut bermula 15 hingga 27 Ogos.
“Pada 27 hingga 30 Ogos kami akan mengambil gambar penduduk yang menyertai pertandingan menghias rumah ini dan kami akan memuat naik di dalam aplikasi WhatsApp dan diundi secara pukal oleh penduduk di taman ini.
“Kami menyediakan hadiah menarik kepada pemenang termasuk wang tunai dan baucar. Keputusan pertandingan tersebut akan diumumkan pada 31 Ogos ini,” katanya yang memberitahu terdapat 500 buah rumah di kawasan taman perumahan tersebut.
Sementara itu, katanya, selain program menghias rumah, pihak KRT Taman Marida turut menjalankan kuiz santai yang dijalankan secara dalam talian bersama penduduk setempat pada setiap hujung minggu. -UTUSAN ONLINE