Peraih cempedak jual 800 kilogram sehari - Utusan Malaysia

Peraih cempedak jual 800 kilogram sehari

SARIPUDDIN Abdullah menunjukkan buah cempedak yang sudah pun dibeli oleh pemborong buah-buahan ketika ditemui di Kampung Teriang, Jelebu baru-baru ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Selepas musim durian, kini tiba pula musim buah cempedak di daerah ini dan bagi seorang peraih buah di Kampung Teriang, dekat sini, dia kini mampu mengumpul sebanyak 800 kilogram buah cempedak sehari untuk dijual.

Saripuddin Abdullah, 60, berkata, buah cempedak berkenaan diperolehnya daripada pekebun serta penduduk yang mengusahakan tanaman itu secara kecil-kecilan di sekitar daerah ini.

Katanya, terdapat dua jenis cempedak yang diraihnya daripada penduduk serta pekebun iaitu cempedak kampung dan cempedak madu.

“Cempedak kampung saya dengan dengan harga RM6 sekilogram manakala cempedak madu pula dijual dengan harga RM10 sekilogram.

“Cempedak ini pun macam durian juga ada peminatnya yang tersendiri dan setiap hari buah ini habis terjual kepada pembeli dari dalam dan luar daerah. Selain cempedak, pembeli juga juga boleh mendapatkan buah-buahan lain seperti durian, manggis, rambutan, pulasan dan petai di sini,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Kampung Teriang dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya yang merupakan bekas pesara sebuah jabatan kerajaan, dia mula berjinak-jinak sebagai peraih buah pada tahun 2017 dan turut mempunyai kebun duriannya sendiri.

“Masa awal-awal musim durian dulu, harga durian kampung pun mencecah RM13 sekilogram kini harganya dijual sekitar RM3.50 sekilogram.

“Apa-apa pun sebagai peraih buah, musim buah-buahan ini memang memberi rezeki bukan hanya buat peraih sendiri bahkan penduduk yang mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN