KLUANG: Tiada kata mampu digambarkan melainkan perasaan syukur seorang bapa apabila enam anaknya terselamat dalam kebakaran rumah di Jalan Suria, Taman Suria Mas, di sini kira-kira pukul 8 malam tadi.
Peniaga burger, Mohamad Zairul Jenal, 31, berkata, ketika kejadian dia dan isteri, Nurul Asmilla Abu Bakar, 36, serta seorang anak perempuan berusia 11 tahun keluar untuk berniaga di Kampung Melayu, kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian.
Dia yang kehilangan kerja sebagai pemandu lori di sebuah kilang sejak dua minggu lalu terpaksa meninggalkan enam anak lain yang berusia tujuh bulan hingga 12 tahun di rumah itu kerana keluar berniaga.
“Anak sulung saya, Mohamad Putra Zaefrul, 12, mengarahkan adik-adiknya lari menyelamatkan diri selepas percubaan memadamkan api tidak berjaya.
“Api membakar langsir dan siling terlalu cepat dan membuatkan anak saya mengambil keputusan mendukung adik bongsu lelakinya berusia tujuh bulan berlari keluar dari rumah.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada litar pintas dan memusnahkan keseluruhan tingkat dua itu termasuk barangan persekolahan anak-anak saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I Mohd. Aini Jahid berkata, Balai Bomba dan penyelamat (BBP) Kluang menerima panggilan kecemasan kebakaran rumah itu pada 7.59 malam.
Menurutnya, dua buah jentera FRT, satu jentera EMRS dan satu Unit RIM dengan kekuatan keseluruhan seramai 17 anggota telah dihantar ke tempat kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal berukuran 18 x 20 kaki dan kebakaran berlaku di bahagian bilik tingkat dua yang berkeluasan 7×10 kaki.
“Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan. Operasi ditamatkan pada pukul 9.06 malam berikutnya,” katanya.- UTUSAN ONLINE