Pengusaha inap desa belum sedia terima tempahan - Utusan Malaysia

Pengusaha inap desa belum sedia terima tempahan

SUASANA lengang di D’ Ketapang Chalet, Teluk Ketapang di Kuala Nerus, semalam. - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kebanyakan pengusaha inap desa  (homestay) di Teluk Ketapang di sini masih belum menerima sebarang tempahan walaupun kerajaan memberikan kelonggaran untuk sektor sosial beroperasi sejak semalam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Bendahari Koperasi Homestay Teluk Ketapang, Md.  Azmi A. Aziz berkata, kelembapan itu berkemungkinan disebabkan jumlah kes baharu Covid-19 yang banyak dikesan di lokaliti berdekatan termasuk Seberang Takir dan Wakaf Tembesu di samping kawasan jiran, Manir di Kuala Terengganu.

MD. AZMI AZIZ

Katanya, keadaan itu sekali gus menyekat pelanggan dari daerah lain untuk menginap di homestay ahli-ahlinya susulan bimbang risiko jangkitan virus.

“Kesemua 29 ahli kita yang aktif memaklumkan belum menerima tempahan lagi setakat ini bagi penginapan inap desa, kampungstay dan bilik-bilik pada hujung minggu atau seterusnya.

“Bagaimanapun, kita sudah membuat promosi serta iklan di pelbagai platform dan menjangkakan sambutan akan kembali rancak jika kes dalam lokaliti berkurangan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Bagaimanapun, Md. Azmi yang juga Penyelaras Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia (MKHA) Terengganu berharap kerajaan dapat memperincikan maksud aktiviti pelancongan melibatkan inap desa itu adakah turut merangkumi pengalaman bersama keluarga atau sekadar penginapan di rumah rehat.

“Kami masih keliru mengenai kebenaran itu kerana prosedur operasi standard (SOP) yang tidak jelas, jadi, bagi mengelakkan risiko Covid-19, kita tidak menawarkan perkhidmatan pengalaman bersama keluarga, sebaliknya terhad kepada kediaman rumah rehat,” katanya.

Sementara itu, pemilik D’ Ketapang Chalet, Salmah Hassan, 66, bersedia menyambut kedatangan tetamu pada bila-bila masa kerana dia dan keluarga sudah lengkap menerima dua dos vaksinasi.

SALMAH Hassan membersihkan inap desa miliknya susulan kebenaran untuk sektor sosial beroperasi kembali ketika ditemui D’ Ketapang Chalet, Teluk Ketapang di Kuala Nerus, semalam.

Katanya, chalet tujuh unit yang diusahakannya sejak 2010 itu berharga RM60 satu malam dan pelanggan berpeluang menghuni secara bilik mahu pun rumah.

“Semasa kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri pada tahun lalu, sambutan diterima cukup menggalakkan dan setiap minggu tempahan D’ Ketapang Chalet penuh,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya