BAGAN SERAI: Penduduk Kampung Bukit Putus, Jalan Kubu Gajah-Gunung Semanggol dekat sini, meminta pihak-pihak bertanggungjawab mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda kampung tersebut.
Seorang penduduk, Mohd. Shaidi Samsuddin, 36, berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak 20 tahun lalu dan tiada usaha untuk menyelesaikannya.
Katanya, banjir kilat semakin kerap berlaku sejak dua tahun lepas yang menyebabkan air bercampur lumpur masuk hingga ke dalam rumahnya dan beberapa penduduk lain.
“Sebelum ini, air banjir kilat ini hanya bertakung di halaman rumah dalam tempoh yang singkat iaitu selama satu atau dua jam tetapi sejak kebelakangan masuk ke dalam rumah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Mohd. Shaidi, kejadian banjir kilat terbaharu berlaku di kampung itu kelmarin berikutan hujan lebat kira-kira sejam.
“Sebelum ini memang ada berlaku banjir tetapi tidak seteruk semalam apabila air hujan dari kawasan bukit di belakang rumah mengalir hingga ke dalam rumah saya dan rumah penduduk lain.
“Air lumpur berwarna merah ini memasuki ke rumah saya hingga ke paras lantai walaupun bahagian anjung dibina tembok penghadang air,” katanya.
Menurutnya, dia dan penduduk lain berharap masalah itu mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak yang berkenaan.
Katanya, masalah itu telah diajukan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Putus dan Penghulu Mukim Gunung Semanggol.
“Mereka telah membawa perkara ini ke peringkat atasan beberapa bulan lalu namun sehingga hari ini belum ada pelaksanaan di lapangan.
“Kami meletak harapan kepada kerajaan negeri agar memberi perhatian yang sewajarnya, kami tidak mahu masalah ini berlarutan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan mendapati saliran atau sistem peparitan yang tidak diselenggera dengan baik mungkin menjadi antara penyebab berlakunya banjir kilang di kawasan itu.- UTUSAN ONLINE