TAMPIN: Seorang pemandu lori maut selepas terbabit dalam nahas dua buah kenderaan berat di simpang tiga Jelai menuju ke Bukit Rokan, di sini hari ini.
Mangsa dikenali sebagai, Mohd. Zukri Hamden, 34, dari Felda Palong 10, Gemas dekat sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik yang tiba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Mohd. Farid Abu Bakar berkata, sepasukan anggota bomba dari balai bomba berkenaan diketuai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 11.22 pagi.
Ujarnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 11.38 pagi dan sebaik tiba didapati seorang pemandu lori 10 tan masih tersepit di dalam lori berkenaan.
“Kemalangan melibatkan dua buah lori iaitu salah sebuah lori terjunam ke dalam gaung. Bomba menggunakan peralatan hydraulic cutter bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu lori yang terjunam itu.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian dan operasi ditamatkan pada pukul 12.30 tengah hari,” katanya hari ini.
Mayat mangsa diserahkan kepada polis dan di hantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat.- UTUSAN ONLINE