Pejuang persoal hutang peneroka Felda - Utusan Malaysia

Pejuang persoal hutang peneroka Felda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mempersoalkan jumlah hutang peneroka yang berjumlah RM10.375 bilion itu teramat besar dan harus dikaji serta diteliti.

Ahli Majlis Eksekutif Pusat parti, Armin Baniaz Pahamin berkata, peneroka Felda yang ditawarkan pelarasan hutang harus berhati-hati dalam menandatangani perjanjian enam muka surat tersebut dengan tempoh persetujuan yang amat singkat.

Jelasnya, ini kerana mereka kini dikategorikan sebagai golongan fakir di bawah pengurusan Felda dan menandatangani perjanjian itu tidak akan mengubah nasib mereka.

Katanya, melupuskan sebahagian dari hutang peneroka tanpa menyelesaikan punca masalah dapat menimbulkan masalah yang sama pada masa depan dan peneroka-peneroka akan kembali dalam keadaan terdesak menanggung beban hutang yang tidak sepatutnya berlaku.

“Melalui sesi temu bual dan kaji selidik bersama peneroka-peneroka dari negeri Johor, Pahang, Perak, Negeri Sembilan pada 15 Ogos 2021, hampir keseluruhan wakil peneroka tidak tahu wujudnya jumlah hutang terkumpul yang teramat besar itu sehingga mereka diberi 14 hari pilihan untuk menandatangani perjanjian pelupusan hutang.

“Peneroka mengadu tidak pernah menerima sebarang penyata sehingga mereka diberi perjanjian pelupusan hutang itu. Mereka juga tidak dimaklumkan perincian butir-butir hutang tertunggak dan jumlah hasil kecuali maklumat hutang terkini di dalam penyata pelupusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, sebanyak 73,817 peneroka Felda menandatangani perjanjian menerima inisiatif pelupusan sebahagian besar pinjaman di 64 rancangan atau lebih 90 peratus golongan itu berbuat demikian.

Menurut Armin Baniaz, sebahagian besar jumlah hutang yang terkumpul berpunca daripada ketidakcekapan pengurusan Felda atau wakil Felda dan berada di luar bidang kuasa peneroka kerana mereka sudah menyerahkan pengurusan tanah kepada FELDA.

“Di bawah pengurusan Felda, peneroka terpaksa berhutang RM1,500 sebulan sebagai elaun sara hidup dan dalam beberapa kes, diberi RM1,500 sebulan sehingga lebih 10 tahun akibat dari ketidakcekapan pengurusan ladang oleh Felda.

“Ini amat berbeza dengan pulangan hasil bersih diantara RM8,000 hingga 12,000 sebulan yang diperoleh pada tahun ketiga oleh peneroka yang mengusahakan sendiri ladang mereka, walhal kedua-dua hasil ladang di bawah pengurusan Felda dan pengurusan sendiri dijual kepada Felda.

“Peneroka juga terpaksa berhutang lebih banyak dan lebih lama untuk menyara hidup di bawah pengurusan Felda berbanding purata tempoh masa yang diambil oleh peneroka yang menguruskan ladang mereka sendiri hanyalah tiga tahun,” katanya.

Tambah beliau, jumlah hutang terkumpul itu juga tidak ditolak dari hasil ladang yang mereka serahkan kepada Felda walaupun telah disemai beberapa kali dan sudah hampir penghujung hayat tanamannya.

“Hutang juga akan bertambah dengan kadar faedah tinggi 6.25 peratus kerana pembayaran hutang bergantung sepenuhnya diatas kecekapan Felda mengurus dan membuahkan hasil.

“Hutang-hutang peneroka patut dilupuskan tanpa perlunya peneroka menandatangani apa-apa perjanjian dan tindakan patut diambil keatas pegawai-pegawai Felda yang gagal melaksanakan tugas mereka dengan sempurna dan mengakibatkan peneroka menanggung hutang yang sebegitu banyak terutamanya tanpa sebarang penyata kewangan diserahkan.

“Malah, peneroka sepatutnya di bayar ganti rugi setiap kali pengurusan ladang gagal atau pun lambat mengusahakan dan membuahkan hasil. Jumlah hasil juga patut dimaklumkan,” katanya.

Beliau berkata, Biro ekonomi Pusat Pejuang terus memantau dan mengkaji situasi peneroka serta akan membentang cadangan pembaikan dari segi dasar dan model perniagaan untuk memastikan taraf ekonomi peneroka terbela.

“Satu persefahaman baharu perlu dicapai untuk memastikan punca-punca hutang dan permasalahan diberi sepenuh tumpuan sebagai penyelesaian supaya ekonomi peneroka-peneroka dapat diperbaik serta mereka tidak di beban kembali dengan permasalahan yang sama,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya