Peguam `Buzze Azam' didakwa buat kenyataan jelik - Utusan Malaysia

Peguam `Buzze Azam’ didakwa buat kenyataan jelik

MOHD Khairul Azam Abdul Aziz di Mahkamah Sesyen di ibu negara hari ini . - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan jelik berkenaan sistem kehakiman negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Facebook miliknya, Mac lalu.

Aktivis berusia 44 tahun itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menggunakan laman profil Facebook dengan nama Buzze Azam pada 1.04 petang, 24 Mac lalu.

Hantaran itu kemudian telah dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 3.50 petang, 25 Mac lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Mohd. Redzuan Mohamed Yusoff memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya telah berkahwin dan menanggung lima anak yang masih kecil.

Menurut peguam bela, Mohd. Khairul Azam merupakan seorang peguam yang berdaftar yang tidak memungkinkannya melarikan diri selain hadir sendiri ke balai polis ketika siasatan dijalankan.

Ujar Mohd. Redzuan, pengadu kes merupakan saksi awam dan tidak wujud risiko bahawa saksi-saksi berkenaan akan diganggu ketika perbicaraan berlangsung.

Peguam bela berkata, sektor guaman dan kehakiman turut terkesan dengan Covid-19 menyebabkan pendapatan anak guamnya terjejas sejak tahun lalu hingga tertuduh terpaksa menggunakan wang simpanan untuk membayar gaji pekerja syarikat guamannya.

Hakim M. M. Edwin Paramjothy membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 September ini untuk sebutan kes.

Pada 24 Mac lalu, Mohd. Khairul Azam dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan membuat kenyataan yang mengapi-apikan orang Melayu dengan kaum Cina dan India, selepas Jabatan Peguam Negara meneliti representasi daripada pembelaan dan menarik balik pertuduhan terhadap peguam itu.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN