PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan takziah kepada keluarga dua anggota polis yang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 24.4 Lebuhraya Silk arah Kajang ke Putrajaya, di sini, hari ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau mewakili warga PDRM berasa sedih dengan kejadian menimpa dua anggota polis terbabit dan mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham yang terkorban dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab diamanahkan.
“Sememangnya tugas sebagai anggota penguatkuasaan undang-undang ini penuh dengan cabaran dan risiko yang tinggi.
“Namun, ia tidak akan melunturkan semangat untuk terus memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Acryl Sani berkata, beliau juga mengingatkan jalan raya bukanlah tempat untuk berlumba dan melakukan aksi-aksi membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
“PDRM akan memastikan kebajikan keluarga anggota yang terkorban ini diberikan perhatian sebaiknya,” katanya.
Media hari ini melaporkan dua anggota polis lelaki yang menjalankan operasi samseng jalanan maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 24.4 Lebuhraya Silk arah Kajang ke Putrajaya, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 1.30 pagi itu berlaku apabila seorang anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berpangkat Sarjan menunggang motosikal dari arah Kajang ke Putrajaya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi kejadian beliau bertembung dengan motosikal ditunggang anggota polis dari Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D4 IPD Kajang berpangkat Konstabel.
Kedua-dua mangsa adalah anggota dari IPD Kajang yang sedang bersama-sama melakukan tugas Operasi Samseng Jalanan.-UTUSAN ONLINE