KUALA TERENGGANU: Pengusaha pasar malam, pasar minggu dan pasar pagi di daerah ini boleh menarik nafas lega kerana perniagaan mereka dijangka dapat beroperasi kembali beberapa hari lagi.
Datuk Bandar, Rozali Salleh berkata, sesi pertemuan dengan kumpulan peniaga akan dibuat dalam masa terdekat bagi membincangkan mengenai perkara itu termasuk soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
“Berdasarkan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN), pasar malam dan pasar minggu sudah boleh beroperasi dan memandangkan Terengganu berada di Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kita jangka sebelum September dapat dibuka.
“Namun, peniaga diingatkan agar tidak mendahului pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kita telah mengarahkan Pasar Malam Teluk Warisan yang dibuka tanpa kebenaran ditutup serta-merta berikuta kesesakan, pada Sabtu lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Jalur Gemilang peringkat PBT di Pejabat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di sini hari ini.
Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan kebenaran pengusaha pasar malam dan pasar minggu untuk kembali beroperasi. -UTUSAN ONLINE