Pasar Awam Tambun Indah pula jadi 'mangsa' Covid-19 - Utusan Malaysia

Pasar Awam Tambun Indah pula jadi ‘mangsa’ Covid-19

ROZALI MOHAMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Pasar Awam Tambun Indah di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS) menjadi pasar awam terbaharu yang terpaksa ditutup di Seberang Perai bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19. 

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, ketika ini sebanyak tujuh kes positif dikesan di situ membabitkan seorang peniaga, empat pekerja serta dua kakitangan MBSP sendiri. 

Sehubungan itu tambanya, MBSP mengarahkan semua peniaga di Pasar Awam Tambun Indah menghentikan sementara operasi perniagaan selama 10 hari bermula hari ini hingga 30 Ogos depan atau sehingga dimaklumkan semula bagi membolehkan saringan dan kerja-kerja sanitasi dilakukan. 

“Ujian swab (calitan) oleh peniaga dan pekerja juga hendaklah dibuat mulai hari ini dan hanya peniaga yang disahkan negatif akan dibenarkan berniaga semula mulai 31 Ogos atau pada tarikh lain sekiranya penutupan ini dilanjutkan oleh PKD (Pejabat Kesihatan Daerah) SPS,” katanya di sini hari ini. 

Sebelum ini, tujuh buah pasar awam di Seberang Perai iaitu di Bagan Ajam; Bukit Mertajam; Chai Leng Park; Mak Mandin, Seberang Jaya, Taman Sri Rambai dan Kepala Batas terpaksa ditutup akibat penularan Covid-19. 

Pasar Awam Bukit Mertajam ditutup sebanyak dua kali susulan terdapat laporan berlakunya jangkitan untuk kali kedua di situ. 

Sementara itu katanya, Pasar Awam Kepala Batas yang terpaksa ditutup selama 10 hari sehingga Ahad ini merekodkan sebanyak 60 kes positif melibatkan seramai 21 peniaga serta 39 pembantu perniagaan selepas ujian swab dijalankan. 

Beliau bagaimanapun membenarkan peniaga-peniaga lain yang disahkan negatif serta tamat tempoh kuarantin  kembali beroperasi di pasar awam itu mulai Isnin ini. 

Menyentuh mengenai kebenaran pembukaan semula operasi pasar malam, Rozali berkata, sekiranya penganjuran pasar malam itu telah mendapat kelulusan operasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, maka penganjur tidak perlu mengemukakan permohonan baharu. 

“Bagi penganjur yang belum membuat permohonan, mereka perlu berbuat demikian dan mendapat kelulusan terlebih dahulu sebelum dibenarkan beroperasi semula. 

“Kita berharap dengan pembukaan semula operasi pasar malam dan pasar awam ini mampu memberi manfaat kepada semua peniaga dan penduduk Seberang Perai,” katanya yang turut berharap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi oleh semua pihak. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya