Parlimen paling tepat tentukan sokongan PM - Ahmad Faizal - Utusan Malaysia

Parlimen paling tepat tentukan sokongan PM – Ahmad Faizal

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyambut baik pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai tentang kedudukan sebagai Perdana Menteri ditentukan dalam usul percaya dalam Sidang Dewan Rakyat pada September ini.

Menurut Ahmad Faizal, beliau gembira kerana ketika perutusan khas mengenai perkara itu yang dibuat hari ini, Perdana Menteri turut disertai oleh rakan-rakan dalam Kabinet daripada pelbagai parti lain.

“Saya gembira dengan pengumuman Perdana Menteri kerana Parlimen adalah tempat yang paling sesuai untuk menentukan seseorang itu mendapat sokongan,” katanya kepada Utusan Malaysia

Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, beliau komited untuk terus menyokong Muhyiddin sebagai sebagai Perdana Menteri bagi meneruskan usaha melawan pandemik Covid 19.

Mengenai tindakan beberapa Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Ahmad Faizal berkata, tindakan itu tidak kena pada masanya.

“Tindakan beberapa rakan ahli parlimen yang memilih masa yang amat tidak sesuai untuk membuatkan keadaan politik menjadi berkecamuk.

“Saya harap barisan Kabinet akan terus fokus kepada usaha-usaha kerajaan dalam membantu rakyat,” katanya.

Semalam, UMNO mengumumkan menarik sokongan daripada kerajaan PN dan Muhyiddin.

Difahamkan 11 ahli Parlimen UMNO telah menarik sokongan dan Muhyiddin didakwa sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan.

Berikutan itu, Muhyiddin dalam perutusan khas hari ini berkata, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri ditentukan dalam usul percaya dalam Sidang Dewan Rakyat pada September ini.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong berkenan terhadap perkara itu sewaktu menghadap Seri Paduka hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN