KUALA TERENGGANU: Paip pam bersaiz 1,200 milimeter yang disyaki pecah di dasar Sungai Terengganu menyebabkan kira-kira 23,100 akaun pengguna Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) di sekitar daerah ini dan Kuala Nerus mengalami masalah gangguan bekalan air sejak semalam.
Satu dalam kenyataan berkata, gangguan yang dijangka berlarutan hingga pukul 10 malam ini membabitkan keseluruhan Gong Badak di Kuala Nerus, kawasan perindustrian Gong Badak, Alor Jambu, Tok Jembal, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Tepoh, Padang Hangus, Pagar Ubi, Bukit Sudu, Bukit Jong, Sungai Ikan, Gemuroh, Ladang Sentosa, Padang Nenas, Lingai dan Bukit Wan.
Katanya, daerah Kuala Terengganu yang terjejas ialah Buluh Gading Masjid, Buluh Gading Dewan, Kampung Banggol Tuan Muda, Petai Bubus, Paya Datu, Jeram, sebahagian Banggol Peradong, Kampung Manir, Kampung Tualang, Kampung Kebor Air dan Kampung Telok Menara.
“Bekalan air dengan tekanan rendah ini dijangka pulih secara berperingkat pukul 10 malam ini.
“Sehubungan itu, sebagai tindakan penyelesaian penghantaran air melalui lori tangki digerakkan di kawasan kritikal,” kata kenyataan itu dalam hantaran di laman Facebook.
Untuk maklumat lanjut, hubungi talian Careline 1-300-882-111 atau 09-6201111. -UTUSAN ONLINE