[VIDEO] Op Kontraban lumpuhkan aktiviti proses arak tiruan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Op Kontraban lumpuhkan aktiviti proses arak tiruan

AYOB Khan Mydin Pitchay (tengah) melihat arak tiruan yang berjaya dirampas dalam Op Kontraban di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai pada sidang akhbar di IPK, Johor Bahru di Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kegiatan memproses arak tiruan serta tidak bercukai tumpas setelah sebuah rumah dua tingkat di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai yang menjadi tempat penyimpanan diserbu sepasukan polis dari Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan Op Kontraban pada pukul 8.10 pagi itu, polis merampas 244 kotak arak pelbagai jenama dan pati arak dengan nilai termasuk cukai berjumlah lebih RM3 juta.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis menahan dua suspek lelaki tempatan berusia 27 dan 41 tahun yang terlibat secara langsung dalam aktiviti penyeludupan minuman keras dipercayai arak tiruan.

Katanya, serbuan yang dibuat bersama bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara turut menahan empat lelaki warganegara Myanmar berusia 29 hingga 37 tahun yang disyaki pekerja dalam premis tersebut. 

ANTARA arak-arak tiruan yang diproses dan berjaya dirampas dalam Op Kontraban di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai pada sidang akhbar di IPK, Johor Bahru di Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

“Hasil siasatan awal, kegiatan ini beroperasi sejak lima bulan lalu. Kesemua suspek yang ditahan ini disyaki pekerja bawahan sahaja. Kita percaya masih ada saki baki dan dalang kumpulan yang masih bebas dan kita yakin masih ada premis yang memproses arak tiruan ini yang beroperasi.

“Pemeriksaan ke atas botol arak tiruan pelbagai jenama itu mendapati ia menggunakan pelekat Jabatan Kastam tiruan yang disyaki dibuat sendiri bagi mengelirukan pengguna dan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, polis merampas 244 kotak arak pelbagai jenama, 20 tong pati arak 4,000 liter (l), dua barrel pati arak 400l, 43 botol pati arak dengan nilai termasuk cukai berjumlah lebih RM3 juta.

ARAK tiruan yang diproses dan berjaya dirampas dalam Op Kontraban di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai. – VIDEO/RAJA JAAFAR ALI

Turut dirampas ialah 20,000 keping pelekat Jabatan Kastam disyaki palsu, sebuah lori jenis Daihatsu Delta, sebuah kereta Nissan Cefiro, tujuh unit telefon bimbit pelbagai jenama serta peralatan memproses arak tiruan tersebut.

Ayob Khan berkata, pihaknya akan meneruskan operasi berkenaan dari masa ke semasa bagi mengekang kegiatan tersebut.

“Aktiviti haram ini adalah kegiatan yang menguntungkan dan jenama arak yang dirampas adalah jenama mahal. Kalau orang biasa, mereka tidak dapat bezakan sama ada arak tiruan itu dengan yang asli, hanya yang pakar sahaja dapat bezakan,” katanya. 

Katanya, dua suspek warga tempatan direman selama 10 hari manakala kesemua suspek warga Myanmar pula direman selama dua minggu bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976 (kesalahan membuat, memproses arak dan memiliki peralatan membuat arak). -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya