Naib Canselor baharu UniMAP fokus transformasi pendidikan digital - Utusan Malaysia

Naib Canselor baharu UniMAP fokus transformasi pendidikan digital

Dr. Zaliman Sauli mahu UniMAP menyerlahkan peranannya untuk manfaat dan pembangunan komuniti di Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAUH PUTRA : Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang baharu, Lt. Kol. Prof. Dr. Zaliman Sauli akan memberi fokus kepada pemerkasaan transformasi penyampaian pendidikan ke arah pendigitalan yang bersesuaian dengan Revolusi Industri 4.0 dan berdasarkan kepada penemuan pelbagai teknologi baharu menggunakan analisis, robotik, awanan (cloud), Internet of Things (IoT) dan teknologi automasi yang lain.

Beliau berkata, bagi merealisasikan transformasi berkenaan, prasarana yang diperlukan akan ditingkatkan agar pelaksanaan semua aktivitinya termasuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat dilaksanakan secara efektif.

Malah beliau mengharapkan komitmen dan kerjasama daripada warga UniMAP bagi bersama-sama mengembleng tenaga untuk memastikan kecemerlangan universiti itu  selain turut menyatakan sokongannya terhadap saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mementingkan peranan universiti kepada masyarakat (unimap4society).

“Saya percaya UniMAP sudah melaksanakan peranannya khusus kepada masyarakat Perlis cuma keterlihatannya dalam kalangan sesetengah agensi dilihat kurang menyerlah.

DR. Zuliman Sauli (dua,kanan) dalam satu majlis bersama pelajar di kampus UniMAP Pauh Putra baru-baru ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

“Tetapi saya yakin dengan kekuatan akademik dan penyelidikan yang ada di UniMAP kita akan berjaya menyerlahkan peranan UniMAP untuk manfaat dan pembangunan komuniti,” katanya.

Ujarnya, UniMAP juga berhasrat mengemas kini kecemerlangannya dengan melihat faktor seperti penjenamaan semula, kedudukan (ranking) dan keterlihatannya bagi memastikan kecemerlangan universiti itu dapat dipertingkatkan lagi walaupun dalam situasi Covid-19.

“Kita sebelum ini berada di kedudukan yang memberangsangkan tetapi semakin menurun atas beberapa faktor dan saya serta pengurusan UniMAP akan memberikan perhatian bagi meningkatkan kedudukan universiti.

“Malah, saya juga akan memberi fokus bagi pemantapan tadbir urus supaya proses kerja yang dilaksanakan di UniMAP mengikut prosedur-prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Naib Canselor Bersama Ketua Jabatan yang berlangsung pagi semalam dan turut menzahirkan penghargaan kepada KPT atas kepercayaan menerajui UniMAP bagi tempoh tiga tahun bermula 9 Ogos lalu.

Dalam pada itu Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai berkenan berangkat menyaksikan ‘Majlis Serah Tugas Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)’ yang diadakan di Pejabat Naib Canselor, Bangunan Canselori, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, semalam.

Majlis diadakan selepas Dr. Zaliman dilantik ke jawatan Naib Canselor keempat UniMAP berkuat kuasa 9 Ogos 2021 hingga 8 Ogos 2024 daripada Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad yang memegang jawatan tersebut dari 15 Mei 2019 sehingga 27 Mac 2021.

Baginda bertitah, agar nilai teras UniMAP iaitu “Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan” sentiasa dijaga dan dipelihara begitu juga dalam aspek integriti dan pengekalan nama baik universiti.

“Diharapkan lebih banyak kejayaan bakal ditempa dan agenda pembangunan universiti terus diutamakan demi menjamin kemenjadian pelajar dan keterlihatan universiti di peringkat global. Semoga UniMAP akan terus unggul dan cemerlang di persada antarabangsa,” kata Baginda.

Baginda yang juga Tuanku Canselor UniMAP turut mendoakan kepimpinan baharu universiti ini akan meneruskan matlamatnya untuk menjadi antara universiti awam terbaik di dunia.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.

Turut hadir ialah bekas Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad dan Pendaftar universiti, Mohd Saad Din.

Baginda turut menitahkan ucapan penghargaan kepada Prof. Dr. R Badlishah atas segala khidmat bakti dan tidak ketinggalan kepada dua lagi bekas Naib Canselor iaitu Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin dan Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dengan harapan mereka akan terus mencurahkan bakti kepada universiti.

Sementara itu, Zaliman memohon limpah perkenan dan sokongan baginda berdua untuk beliau menabur bakti demi pembangunan agenda pendidikan negara serta memastikan UniMAP terus melakar kejayaan dalam apa jua bidang diceburi.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN