GEORGETOWN: Mikrofon atau pembesar suara peranti rosak dikatakan menjadi antara alasan atau keluhan ‘popular’ dalam kalangan pelajar sekolah ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dilaksanakan.
Pengerusi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Pulau Pinang, Mohd. Zaidi Said berkata, alasan itu kerap digunakan pelajar sekolah rendah dan menengah setiap kali guru meminta membaca atau memberi jawapan terhadap subjek yang dipelajari.
“Kebiasaannya, pelajar akan diminta membaca petikan yang diberikan oleh guru dan jika ada yang tidak mahu membaca, mereka (pelajar) selalu menjadikan alasan ‘speaker’ tidak berfungsi atau suara tidak jelas disebabkan pembesar suara rosak.
“Bagi pelajar yang gagal menghadiri kelas PdPR pula, mereka akan menggunakan alasan demam, tertidur atau bangun lewat dan terjaga apabila kelas sudah tamat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Zaidi memberitahu, guru-guru tetap akan meneruskan sesi pengajaran sehingga tamat sesi pembelajaran biarpun berdepan dengan pelbagai kerenah pelajar.
“Guru berkenaan akan menghantar mesej secara peribadi kepada pelajar yang kerap memberi alasan termasuk memaklumkan kepada ibu bapa mereka sekiranya masih menggunakan alasan sama.
“Memang tidak dinafikan, masih ada dalam kalangan pelajar menjadikan alasan kehabisan data atau tiada talian internet ketika sesi PdPR berlangsung.
“Namun, masalah tersebut semakin dapat diatasi memandangkan guru-guru telah mempelbagaikan kaedah pengajaran agar tidak membebankan ibu bapa dan murid,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE