Menanti tugu bertulis mengenai sejarah Padang Kota Lama - Utusan Malaysia

Menanti tugu bertulis mengenai sejarah Padang Kota Lama

PERADABAN mencadangkan tugu bertulis dibina mengenai sejarah Padang Kota Lama di Georgetown, Pulau Pinang yang menjadi antara lokasi penting dalam sejarah kemerdekaan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Cadangan supaya tugu bertulis dibina mengenai sejarah Padang Kota Lama di sini yang menjadi antara lokasi penting dalam sejarah kemerdekaan negara pernah disuarakan pelbagai pihak termasuk Persatuan Sejarah dan Peradaban Pulau Pinang (Peradaban).

Bagaimanapun, Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Kader Md. Ali berkata, pihaknya kecewa kerana sehingga kini, tiada usaha daripada kerajaan negeri membina tugu peringatan bertulis mengenai sejarah panjang Padang Kota Lama itu.

Katanya, pihaknya bimbang lama-kelamaan, sejarah Padang Kota Lama yang menjadi lokasi penting upacara menurunkan bendera British iaitu Union Jack sebelum negara mencapai kemerdekaan akan dilupakan generasi muda.

“Upacara berkenaan mencatatkan sejarah sebagai lokasi terakhir kewujudan bendera Union Jack di Pulau Pinang dan menandakan berakhirnya penjajahan British di Malaya ketika itu.

“Ramai yang tidak mengetahui mengenai sejarah Padang Kota Lama ini yang menjadi lokasi penting dalam usaha mencapai kemerdekaan kita, kami bimbang ia akan dilupakan terus selepas ini,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, selain pembinaan tugu bertulis, fakta sejarah di Padang Kota Lama itu juga wajar dihebahkan oleh pihak berkuasa terutama ketika bulan kemerdekaan negara menerusi pelbagai medium komunikasi seperti media sosial.

“Generasi muda kita sudah kurang membaca dan masa mereka banyak dihabiskan di dalam media-media sosial kerana mereka lebih gemar perkara-perkara melibatkan visual.

“Jadi, alangkah baiknya jika fakta-fakta sejarah membabitkan Padang Kota Lama ini dimuat naik menerusi media sosial untuk pengetahuan generasi muda.

“Fakta sejarah membabitkan kisah kemerdekaan negara yang kita ada di Padang Kota Lama ini merupakan sejarah yang patut dibanggakan dan dipelihara untuk masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Kader berkata, pihaknya juga mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Kebudayaan Negeri Pulau Pinang agar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dengan sejarah dapat bekerjasama dengan kerajaan dalam melaksanakan aktiviti serta memelihara sejarah budaya di negeri ini.

“Jawatankuasa perlu dianggotai oleh mereka yang berada dalam kerajaan negeri serta NGO sejarah agar usaha-usaha memartabatkan sejarah Pulau Pinang dapat dilaksanakan.

“Kita lihat usaha-usaha memelihara sejarah serta budaya negeri agak suram terutama ketika pandemik Covid-19 ini,”katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN