MDKS kini Majlis Perbandaran Kuala Selangor - Utusan Malaysia

MDKS kini Majlis Perbandaran Kuala Selangor

AMIRUDIN (kiri) dan Rahilah pada majlis pengisytiharan MPKS secara maya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) secara rasmi diisytihar sebagai Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) berkuat kuasa pada hari ini.

Status baharu pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dimasyhurkan selepas mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, majlis pengsiytiharan secara atas talian itu dianggap sejarah yang sudah lama dinantikan terutama warga Kuala Selangor.

Katanya, kerajaan negeri yakin pengalaman dan kepimpinan Yang Dipertua MPKS, Rahilah Rahmat serta semangat seluruh warga kerjanya akan terus memacu kegemilangan PBT itu pada masa depan.

“Tahun demi tahun ditempuhi dengan pelbagai cabaran terutama yang berkaitan hal ehwal pembangunan ekonomi, fizikal, dan alam sekitar. 

“Namun, berbekalkan usaha dan perjuangan menyeluruh warga kerja MDKS (sebelum ini), akhirnya status perbandaran menjadi milik kalian,” katanya ketika berucap pada Majlis Menjunjung Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi Pengisytiharan MPKS secara maya hari ini.

Ujar Amirudin, MPKS perlu mengorak langkah memacu imej baik industri pelancongan supaya dapat meningkatkan tahap keselamatan dan perkhidmatan produk pelancongan di Selangor.

“Langkah itu bagi memenuhi citarasa pelancong sekali gus membantu peningkatan sumber ekonomi penduduk setempat dan negeri ini.

“Kuala Selangor juga merupakan permulaan bagi kerajaan negeri meneruskan pembangunan antaranya memenuhi pelaksanaan gugusan Anjung Utara iatu Kluster Pertanian dan Kluster Eko-Pelancongan,” katanya.

Jelas beliau, tanggungjawab MPKS sebagai PBT sememangnya lebih berat kerana melibatkan penyampaian perkhidmatan terus kepada rakyat. 

“Perkhidmatan awam perlu menjadi jentera perkhidmatan dinamik merentasi sempadan dan melangkaui ekspektasi pemikiran biasa.

“Peranan dan fungsi yang dilaksanakan turut perlu seiring perubahan di peringkat domestik dan global. 

Tambah Amirudin, selain merangka pembangunan dan menangani isu setempat, agenda pembandaran perlu dilihat dalam perspektif yang bersifat holistik. 

“Daerah ini juga harus menyediakan segala kemudahan infrastruktur, ketersampaian selain menyediakan peluang dan perkhidmatan yang adil kepada semua warganya. 

“Saya berharap MPKS dapat meneruskan momentum positif kerja berpasukan dan menaiktaraf mutu penyampaian perkhidmatan yang lebih sistematik bagi memenuhi keperluan dan kehendak penduduk daerah ini,” ujarnya.

Selangor setakat ini mempunyai tiga majlis bandar raya iaitu Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang Jaya.

Selayang, Ampang Jaya, Klang, Kajang, Kuala Langat, Sepang dan Kuala Selangor pula berstatus majlis perbandaran. Selain Hulu Selangor, Sabak Bernam memegang status majlis daerah.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya