BUKTI MERTAJAM: Prihatin dengan nasib lebih 100 pesakit Covid-19 yang kini sedang dirawat di Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini, parti MCA tampil untuk menghulurkan bantuan baru-baru ini.
Pengerusi MCA negeri, Datuk Tan Teik Cheng berkata, bantuan dalam bentuk peralatan perubatan iaitu tabung oksigen itu dibuat hasil sumbangan orang ramai serta sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan di sini.
Terdahulu, katanya, dia mendapat tahu mengenai keperluan mendesak itu daripada Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah hospital berkenaan, Datuk Kang Chun Keong.
“Saya kemudian telah mengambil tindakan segera dan berjaya mendapatkan 20 buah mesin tabung oksigen ini dalam tempoh yang singkat termasuk sembilan yang disumbangkan oleh Pertubuhan Tabung Bakti Yong Heng serta satu hasil sumbangan saya sendiri.
“Diharapkan, mesin-mesin yang disumbangkan ini dapat memberi manfaat kepada pesakit yang memerlukan,” katanya yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dalam satu kenyataan di sini.
Dalam perkembangan lain, Teik Cheng berkata, SPPP dan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB), masing-masing turut menyumbangkan dua buah peralatan yang sama kepada Hospital Kepala Batas.
Menurut beliau, walaupun kedua-dua hospital itu menerima peruntukan tetap daripada pihak kerajaan, namun, bantuan yang dihulurkan itu turut dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung pihak hospital apatah lagi dengan peningkatan bilangan pesakit Covid-19 hampir setiap hari.
“Dengan keadaan pandemik yang semakin serius hari ini, kita semua seharusnya mengamalkan sikap saling tolong-menolong. Lindungi diri, lindungi semua,” katanya. -UTUSAN ONLINE