GEORGETOWN: Mana-mana premis yang tidak mempamerkan maklumat mengenai status bilangan pekerja yang telah menerima vaksin Covid-19 akan diarahkan ditutup serta-merta oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Datuk Bandar MBPP, Ar Yew Tung Seang berkata, semua kedai dan premis di bahagian pulau diwajibkan mempamerkan maklumat mengenai status vaksin Covid-19 itu sebagai syarat utama pembukaan premis masing-masing.
“MBPP telah selaraskan format untuk semua premis di bahagian pulau di mana semua premis perlu mempamerkan maklumat status vaksin pekerja mereka.
“Maklumat ini wajib untuk dipamerkan dan MBPP tidak teragak-agak mengambil tindakan seperti menutup premis sekiranya maklumat ini tidak dipamerkan,” katanya selepas meninjau beberapa premis di Gurney Paragon, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, hampir kesemua sektor ekonomi di negeri ini dibuka semula mengikut kemudahan untuk sektor Perdagangan dan Pengedaran Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) walaupun Pulau Pinang belum mencapai 50 peratus kadar vaksinasi penuh.
Menurut Tung Seang, pemantauan berkala daripada anggota penguat kuasa MBPP serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dijalankan bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
“Kadar harian kes positif Covid-19 masih lagi tinggi di negeri ini, jadi semua pihak perlu menjaga keselamatan, para peniaga termasuk pelanggan akan dikenakan tindakan sekiranya mereka tidak mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu.beliau berkata, kira-kira 2,000 penjaja kecil termasuk pekerja mereka bakal menerima vaksin Covid-19 menerusi Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movac) yang akan diadakan di daerah Timur Laut dan Barat Daya pada 30 Ogos ini.
“Program ini dikhaskan untuk memudahkan penjaja kecil menerima vaksin Covid-19 dan mereka akan memperoleh vaksin ini secara berperingkat.
“Mana-mana penjaja yang masih belum mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera atau yang sudah mendaftar dan masih belum mendapat temu janji boleh berhubung dengan pihak MBPP,” katanya.
Sementara itu, menerusi tinjauan di Gurney Paragon mendapati kebanyakan premis seperti kedai menjual pakaian telah mula dibuka dengan SOP ketat oleh pemilik masing-masing.
Selain itu, pelanggan juga dibenarkan untuk makan dan minum di restoran di pasaraya berkenaan namun mereka dikehendaki mempamerkan sijil digital vaksin menerusi aplikasi MySejahtera. – UTUSAN