SABAK BERNAM: Kehilangan seorang lelaki warga emas yang terjun ke dalam Sungai Sabak Bernam di sini, sejak empat hari lalu terungkai selepas mayatnya ditemukan petang tadi.
Mayat mangsa, Ong Tiong Seng, 75, ditemukan pasukan bot penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terapung berdekatan jambatan Sungai Bernam pada pukul 2.57 petang.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, operasi mencari dan menyelamat yang turut disertai polis dan nelayan itu dijalankan bermula pukul 7 pagi.
“Operasi pencarian melibatkan kawasan pesisiran Sungai Bernam yang berada kira-kira 15 kilometer dari Jeti Pengkalan Sabak Bernam.
“Sebuah bot penyelamat kemudian menemukan mayat mangsa di sekitar kawasan jambatan Sungai Bernam,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti dengan menggunakan bot penyelamat.
“Mayat berkenaan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 5.15 petang tadi,” ujarnya.
Terdahulu, Tiong Seng dikatakan sempat memaklumkan dirinya berada dalam keadaan selamat ketika mandi selama setengah jam di Sungai Sabak Bernam sebelum hilang dibawa arus, Rabu lalu.
Kehilangan mangsa diketahui pukul 6.45 petang selepas dimaklumkan pemancing di kawasan Jeti Jalan Pasar Pekan Sabak Bernam.
Berdasarkan siasatan polis, mangsa dikatakan meninggalkan selipar dan terus terjun ke dalam sungai tersebut.
Seramai 25 anggota termasuk pegawai serta Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
Kesemua mereka dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam, Shah Alam dan Klang selain Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Sabak Bernam.
Kejadian itu turut tular di laman sosial menerusi video berdurasi 22 saat yang memaparkan mangsa dibawa arus sungai tersebut.- UTUSAN ONLINE