KUALA LUMPUR: Pelawak, Tauke Jambu ‘menasihatkan’ segelintir warganet yang pernah menabur fitnah kepadanya supaya berhati-hati dan membaca undang-undang berkaitan penyebaran berita palsu di media sosial.
Tauke dengan tegas berkata, masyarakat seharusnya berhati-hati sebelum menulis sebarang komen di media sosial terutama melibatkan maruah dan nama baik seseorang tidak kira selebriti mahu pun ahli politik.
“Berhati-hati dan peka sebelum menulis sebarang komen yang boleh jatuh fitnah. Ada yang keterlaluan. Bila perkara tidak benar tersebar, itu boleh menjatuhkan maruah dan nama baik seseorang.
“Kepada yang memfitnah dan mengecam saya dengan ayat-ayat keterlaluan, hari ini mungkin anda terlepas. Esok lusa, kita tidak tahu. Jangan suka sebar berita palsu. Baca undang-undang berkaitan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 45, sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan dalam kes kegiatan pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah pada 1 Ogos lalu.
Namun polis mengesahkan seorang pelawak yang sebelum ini ditahan kerana disyaki terbabit dengan kes itu pada awal bulan ini, tidak didakwa di Mahkamah Majistret.
Sementara itu, ditanya adakah Tauke bakal meneruskan tindakan undang-undang kepada mereka yang dipercayai menyebarkan fitnah, pelawak itu menjawab tunggu dan lihat.
Malah Tauke juga mendedahkan, dia dan keluarga kini berada dalam keadaan sedikit tertekan dek penyebaran fitnah melibatkan nama baiknya.
“Sampai sekarang masih ada yang menuduh saya. Padahal sudah terbukti tidak terlibat dan bersalah. Nak keluar rumah pun rasa macam tertekan.
“Jangan mudah menjatuhkan hukuman. Belum tentu yang ditahan itu bersalah. Ada yang sekadar bantu siasatan. Kadang-kadang, yang komen itu macam tiada adab. Pemikiran cetek,” katanya. – UTUSAN