‘Mana kami nak cekau?’ - Penggiat seni - Utusan Malaysia

‘Mana kami nak cekau?’ – Penggiat seni

Aktiviti penggambaran filem yang ditangguhkan ekoran penularan Covid-19 menjejaskan pendapatan penggiat seni- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggiat seni tanah air merayu kepada kerajaan supaya dapat membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup ekoran kehilangan sumber pendapatan sepanjang tempoh penularan Covid-19.

Keluhan mereka nampaknya tidak begitu mendapat perhatian kerajaan terutama Perbadanan Filem Nasional (Finas) yang menjadi agensi memayungi aktiviti seni tanah air.

Persatuan Pengarah-Pengarah Filem Malaysia (FDAM) pula saban hari menerima aduan daripada ahli-ahlinya dan juga ramai penggiat seni yang lain tentang kepayahan hidup yang mereka alami ketika menghadapi pandemik yang semakin menggila ini. 

Hidup semakin sukar, tabung simpanan semakin habis tak bersisa, bantuan  kerajaan hanyalah sekadar pengumuman RM100 juta untuk anak seni yang sehingga kini tiada bayangnya. 

Menurut Presiden FDAM, Dr. Ahmad Ibrahim, kalau sekadar untuk makan minum memang tiada masalah kerana ramai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu. 

DR. AHMAD IBRAHIM

“Tapi sekadar itu sajalah,susu anak, lampin anak, pinjaman kereta atau motosikal, bil segala macam dan sewa rumah yang lama tertunggak. membungkamkan mereka. Mana nak cekau?, “ujarnya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pekerja seni ini majoritinya adalah pekerja bebas, ada kerja ada gaji! dan tanpa perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)  dan tanpa (caruman) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

Justeru kata beliau, masa inilah kerajaan khususnya Finas melihat nasib penggiat seni.

Bagaimanapun FDAM mendakwa Finas bukanlah sebuah agensi kerajaan yang memikirkan hal kebajikan anak seni. Agensi tersebut dakwa FDAM, lebih sibuk mengaturkan kursus dan bengkel segala macam.

“Mereka lebih sibuk mencaturkan siapa yang layak dan tidak layak untuk masuk MyCAP. Hal kebajikan bukan tugas kami, kata mereka. Di kala ramai penggiat seni yang terkesan teruk dari segi ekonominya, sudah pastilah mereka tiada masa memikirkan tentang bengkel dan kursus itu,” ujarnya.

Bayangan kata beliau, bantuan barangan dan agihan daging korban pun Finas hanya beri kepada persatuan-persatuan di bawah MyCAP saja. Itupun kata beliau ditaja oleh pihak lain.

Oleh itu katanya agensi mana yang sebenarnya bertanggungjawab memanfaatkan RM100 juta untuk penggiat seni seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu? 

Apakan para penggiat seni yang jumlahnya puluhan ribu ini perlu pergi ke Baitulmal atau Jabatan Kebajikan Masyarakat? 

Katanya mereka ini semua adalah rakyat negara ini, yang sama-sama membangunkan negara mengikut bidang masing-masing. 

“Jangan pinggirkan mereka! Sepatutnya dalam keadaan genting sebegini, agensi-agensi kerajaan termasuk FINAS perlu membuka mata dan lebih berinisiatif untuk mendahulukan perkara yang lebih afdal buat masa ini, iaitu kebajikan kepada pekerja seni. MyCAP kalau penting sangat pun sekalipun, bolehlah ditangguhkan dahulu. 

Kerajaan juga, khususnya menteri yang menjaga FINAS, jenguk-jenguklah sikit ke bawah. 

“Jangan main dengar saja laporan daripada pegawai-pegawai. Laporan selalunya cantik molek tetapi tidak menggambarkan situasi sebenar. Kami di persatuan yang saban hari berinteraksi dengan ahli-ahli dan juga penggiat seni yang lain lebih mengetahui keadaan sebenar,”ujarnya.

Ahmad mendakwa, separah mana keadaan insan seni  pihaknya lebih mengetahuinya kerana mereka juga adalah sebahagian yang turut terkesan. 

“Sudahlah hal kebajikan tidak dihiraukan, perancangan untuk memulihkan keadaan insan seni ini yang entah bila boleh mula bekerja juga tidak ada.

“Kalau sekadar kenyataan yang mereka memandang serius keadaan anak seni menghadapi pandemik ini, tanpa ada tindakan yang benar-benar dilihat dapat membantu keluar dari kemelut ini, kenyataan hanyalah tinggal kenyataan, atau dengan lain perkataan adalah retorik yang menghiburkan sejenak sebelum mata terpejam!, “ ujarnya. UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya