SEREMBAN: Seorang lelaki rentung dalam kebakaran sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Sungai Jai, Lenggeng, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, kemalangan kira-kira pukul 9.30 pagi tadi itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa berumur 33 tahun yang dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur dari Mantin telah hilang kawalan.
Mangsa lalu terbabas memasuki laluan bertentangan ke bahu kanan jalan dan melanggar sebatang pokok hingga mengakibatkan kereta tersebut terbakar.
“Akibat kemalangan, mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa yang rentung dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Mantin, Penolong Penguasa Bomba, Priscilla Carol Thomas berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan pada pukul 9.37 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati terdapat seorang mangsa yang belum dikenal pasti identitinya telah terbakar dan rentung di dalam sebuah kenderaan Proton Saga FLX yang musnah 100 peratus.
“Mangsa yang memandu seorang diri rentung di tempat duduk pemandu apabila kereta tersebut dipercayai terbabas dan melanggar pokok seterusnya terbakar,” katanya. -UTUSAN ONLINE