KOTA KINABALU: Hasrat seorang lelaki membaiki kenderaan yang rosak di tepi jalan bertukar menjadi tragedi apabila kenderaan itu tiba-tiba terundur ke belakang lalu menghimpitnya.
Mangsa, Vun Fook Khiong, 53, mengalami cedera parah setelah dihimpit oleh kenderaan miliknya di Jalan Kampung Pulutan Menggatal dekat sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 12.24 tengah hari dan sebuah jentera bersama lima pegawai pelbagai pangkat dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sebaik sahaja tiba di lokasi, seorang mangsa dilihat berada di bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Vigo.
Mangsa didapati mengalami cedera parah dan dikeluarkan oleh pasukan bomba. Mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan kenderaan awam bagi mendapatkan rawatan lanjut. -UTUSAN ONLINE