Lega dah boleh makan di kedai - Utusan Malaysia

Lega dah boleh makan di kedai

AZMI Yusoff menunjukkan sijil sudah lengkap dua dos vaksin bagi membolehkan dia bersarapan di sebuah warung di Kampung Kubang Labu, Wakaf Bharu, Tumpat semalam. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kebenaran makan di kedai atau dine in kepada individu yang lengkap  dua dos vaksin Covid-19 di negeri-negeri yang memasuki Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai hari ini mendapat sambutan hambar penduduk di negeri ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan kedai makan dan restoran lengang apabila pelanggan terus  memilih mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) lama iaitu bawa balik makanan atau take away.

Malah suasana di pusat bandar dan pekan-pekan kekal tenang tanpa peningkatan jumlah kenderaan yang ketara.

Orang ramai yang ditemui mengakui mengalu-alukan kelonggaran diberikan kerajaan tersebut, namun mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ kerana masih was-was terhadap risiko penularan Covid-19 di luar rumah.

Seorang peniaga ikan, Khor Yee Zhen, 35, berkata, dia benar-benar teruja apabila mendapat tahu kerajaan memberi kelonggaran itu kepada negeri-negeri dalam fasa kedua PPN

“Macam tak percaya, kita sudah boleh makan di kedai ke? Saya masih bujang dan tinggal seorang diri. Jujur cakap, memang sudah tidak sabar mahu keluar bertemu rakan dan lepak di warung seperti dulu.

“Namun dalam keadaan Covid-19 masih serius, ada pula varian baharu yang lebih cepat merebak, saya fikir elok duduk diam-diam di rumah  sahaja. Tidak berbaloi rasanya jika positif Covid-19 akibat makan di kedai,” katanya di sini semalam.

Pengusaha kedai makan, Nick Hafez Harun, 32, pula berkata, dia belum bersedia menerima kehadiran pelanggan untuk dine in di premis yang diusahakan bersama ibu bapanya.

“Saya risau kalau orang ramai datang serentak sehingga sukar untuk memastikan mereka mematuhi SOP. Selain khuatir kedai saya jadi pusat penularan Covid-19, saya juga bimbangkan keselamatan ibu dan ayah yang sudah tua,” katanya.

Pelanggan di sebuah warung makan, Azmi Yusoff, 55, pula sebaliknya apabila menyifatkan kelonggaran untuk keluar melakukan aktiviti sosial sebagai berita gembira yang amat dinanti-nantikan selepas berbulan-bulan ‘terkurung’ di rumah.

 

“Pagi ini saya terus keluar rumah untuk bersarapan di warung. Sebelum dibenarkan duduk makan, saya perlu menunjukkan sijil sebagai bukti sudah menerima dua dos vaksin terlebih dahulu. Alhamdulillah, seronok rasanya.

“Pemilik kedai pun amat menitikberatkan SOP  seperti susunan kerusi meja pada jarak satu meter serta menyediakan pengimbas suhu, kod aplikasi MySejahtera dan buku log untuk pelanggan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya