Kuiz Pelaburan Tahunan PNB tawar hadiah RM68,500 - Utusan Malaysia

Kuiz Pelaburan Tahunan PNB tawar hadiah RM68,500

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) masih berupaya mengagihkan dividen yang baik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM68,500 bagi pemenang kategori Remaja dan Umum Kuiz Pelaburan PNB 2021 yang bermula hari ini.

Pertandingan kuiz tahunan kali ke-21 yang menguji peserta mengenai konsep utama pelaburan dan perancangan kewangan melalui pendekatan didik hibur itu terbuka untuk warganegara Malaysia sehingga 31 Ogos 2021.

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) ialah syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB yang ditugaskan untuk melaksanakan inisiatif literasi kewangan dengan menumpukan usaha membangunkan masyarakat yang lebih bijak tentang pelaburan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, kuiz yang bertemakan ‘Capai Kemerdekaan Kewangan’ sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia itu mengemukakan soalan-soalan berkaitan pelaburan dan pengurusan kewangan.

“Konsep soalan tahun ini adalah berbeza berbanding tahun lalu dan boleh dikatakan lebih mencabar kerana peserta hanya diberikan petunjuk dan bayangan jawapan, bukannya soalan objektif dengan pilihan jawapan.

“Setiap tahun, kami berusaha meningkatkan cabaran dengan mempelbagaikan konsep soalan supaya Kuiz Pelaburan PNB kekal sebagai antara medium yang mampu menarik minat orang ramai untuk mendalami ilmu pelaburan dan pengurusan kewangan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Mohammad, sejak tahun lalu, kuiz tersebut dianjurkan sepenuhnya secara dalam talian sesuai dengan norma baharu berikutan pandemik Covid-19.

“Kami dapati kaedah penyertaan dalam talian memberi peluang kepada penyertaan yang lebih meluas daripada orang ramai kerana tahun lalu,  sejumlah 173,980 penyertaan diterima, meningkat 120 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Tempoh kuiz bagi Kategori Remaja berumur 13 hingga 17 tahun bermula hari ini hingga 22 Ogos, manakala penyertaan untuk Kategori Umum bagi golongan berusia 18 tahun dan ke atas akan bermula dari 16 hingga 31 Ogos 2021.

Penyertaan untuk kuiz itu adalah secara dalam talian di laman web(www.asnb.com.my). Semua maklumat, soalan dan artikel berkaitan Kuiz Pelaburan PNB juga akan dimuat naik dalam laman web tersebut. 

Penganjuran kuiz ini merupakan antara usaha berterusan ASNB dan PNB di bawah teras Literasi Kewangan dalam menyampaikan ilmu pelaburan dan pendidikan kewangan kepada orang ramai menerusi kaedah yang lebih menarik.

Keputusan Kuiz Pelaburan PNB bagi kedua-dua kategori adalah berdasarkan semua jawapan yang betul. Penyertaan adalah tidak terhad, namun setiap peserta hanya layak untuk memenangi satu hadiah sahaja. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya