Kubur berpusat jenazah pesakit Covid-19, jimat masa, tenaga - Utusan Malaysia

Kubur berpusat jenazah pesakit Covid-19, jimat masa, tenaga

KAMARUDIN SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Konsep tanah perkuburan berpusat khusus untuk jenazah pesakit Covid-19 dilihat sebagai pemudah cara tatkala seluruh negara kini sedang berdepan angka kematian besar akibat pandemik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Kamarudin Sidek memaklumkan, kerajaan negeri mempunyai hasrat  melaksanakan mekanisme berkenaan di Tanah Perkuburan Bidadari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ayer Keroh di sini, memandangkan ia hanya kira-kira 10 kilometer (KM) sahaja dari Hospital Melaka.

Beliau berkata, kaedah terbabit dilihat sangat efisien dalam mempercepatkan pengebumian, berikutan jenazah positif Covid-19 tidak boleh disimpan lama, selain mengurangkan bebanan kerja para sukarelawan.

Ujarnya, ini berikutan keadaan bilik mayat di Hospital Melaka juga sudah menghampiri kapasiti maksimum dan kerajaan negeri masih menanti kontena mayat daripada Kementerian Kesihatan.

“Isunya adalah memakan masa dan jarak. Contoh jenazah ada tujuh atau ada 10 orang, pukul 9 satu di Jasin, pukul 10 nanti nak pergi ke Alor Gajah dan sebagainya. Ini yang menyebabkan memakan masa sedangkan jenazah pesakit Covid-19 tidak boleh disimpan lama.

“Sebab itu, saya difahamkan pihak kerajaan negeri di peringkat perbincangan supaya diadakan kubur berpusat untuk jenazah Covid-19 dan memudahkan pengurusan.

“Jenazah yang ada di Hospital Melaka, semua pergi ke satu kubur di tempat yang sudah dikhususkan. Itu yang sedang kita cadangkan dan perhalusi lagi, sebab kita tahu ada sentimen sedikit dalam keluarga jenazah khususnya orang Melayu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, setakat ini, bilik mayat Hospital Melaka hanya boleh menempatkan sebanyak 26 jenazah membabitkan kes Covid-19.

Kelmarin, Melaka mencatatkan enam kes kematian akibat Covid-19 dengan 636 kes positif baharu.

Dalam pada itu, mengulas berkenaan sentimen dalam kalangan orang Melayu yang rata-ratanya ingin mengebumikan jenazah di kampung halaman, Kamarudin berkata, buat masa ini, kerajaan tidak berhasrat untuk menjadikan perkara itu sebagai mandatori.

“Mungkin mereka nak tanam (kebumi) di kampung masing-masing, ini adalah salah satu isu yang kita sedang fikirkan dan perhalusi.

“Saya yakin, bila sampai satu peringkat, kalau kritikal, mungkin kerajaan negeri akan buat satu keputusan juga walaupun tidak popular,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya