Kostum pelik? Tak halang cuma tegur - Hafiz Hamidun - Utusan Malaysia

Kostum pelik? Tak halang cuma tegur – Hafiz Hamidun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan komposer terkenal tanah air, Hafiz Hamidun, mengaku tidak menyimpan rasa marah atau tidak berpuas hati dengan segelintir penerima vaksin yang sengaja memakai kostum pelik ketika hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Sebaliknya, teguran yang dibuat semalam menerusi Instagram Story (IGS) adalah sekadar pandangannya sebagai orang awam yang mencadangkan agar setiap individu penerima vaksin lebih cakna dengan persekitaran.

“Pakailah pakaian biasa yang bersesuaian. Saya faham ada yang berpandangan ia sekadar hiburan. Bila saya luahkan pendapat itu di IGS, ramai yang kata apa salahnya pakai begitu? Katanya bukannya mereka kacau saya pun?

“Memang betul mereka tak kacau saya. Terpulanglah nak pakai begitu. Tetapi pernah tak kita terfikir bahawa ada pihak yang mungkin terasa dan sensitif dengan pemakaian sebegitu? Contohnya pakai baju kelawar isteri, kostum pontianak dan hantu biarawati?

“Kita cuma fikir ia hanya untuk hiburan dan tiada larangan daripada pihak PPV atau petugas barisan hadapan di situ. Tetapi ada segelintir kostum yang dipakai tidak munasabah sedangkan urusan vaksin ini adalah urusan yang serius dan penting,”katanya.

Hafiz berkata demikian semasa dihubungi Utusan Malaysia hari ini bagi mengulas tindakannya memuat naik pandangan yang dilihat sebagai teguran terhadap pemakaian segelintir individu ketika hadir ke PPV.

Menerusi status tersebut, Hafiz menegur agar penerima vaksin memakai pakaian elok-elok dan tidak perlu keterlaluan melakukan gimik sehingga memakai baju kelawar isteri, jadi hantu dan sebagainya.

Menurut Hafiz, dia tidak menafikan, pada awalnya turut berasa terhibur dengan keletah mereka, namun apabila semakin ramai yang mula memakai kostum yang pelik-pelik, perkara itu sudah menjadi agak menjengkelkan.

“Saya tahu selain satu cara berhibur, ia juga adalah bagi menarik perhatian orang. Tetapi mungkin dalam keadaan itu, kita tidak sedar bahawa adakalanya ia tidak melancarkan urusan menerima vaksin itu, sedangkan itu yang penting.

“Ada juga yang komen pada saya, katanya bukan ganggu bab agama pun. Saya tak sebut pun pasla agama, tapi mahukan saya sentuh pasal agama? Pakai baju wanita dan jadi hantu cina dan sebagainya, mahukah saya sentuh aspek agama?

“Sekali lagi ditekankan, saya tak marah atau menghalang. Ini adalah pendapat saya dan bukankah kita semua meraikan perbezaan pendapat? Cuma kalau boleh, saya cadang pakai pakaian sesuailah, itu sahaja,”katanya.

Sementara itu, Hafiz tidak pasti andai tindakan segelintir individu ini adalah sebahagian daripada tujuan mempromosikan vaksin itu sendiri atau daripada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak berkecil hati andai pandangannya ini juga tidak mendapat persetujuan sesetengah pihak kerana sedar masih ada ramai lagi yang menyimpan pandangan serupa dengannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya