PETALING JAYA: Kilang pemprosesan durian yang tidak dapat beroperasi penuh ekoran
pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan harga raja buah itu jatuh di pasaran.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan ( FAMA), Abdul Rashid Bahri berkata, durian yang tidak dapat dijual di kilang berkenaan terpaksa dijual segar di pasaran sehingga menyebabkan berlaku lambakan.
Katanya, kebiasaannya ketika musim durian tiba, sebahagian buah akan dihantar ke kilang bagi tujuan eksport iaitu buah dikupas atau diproses menjadi pes manakala selebihnya dijual secara segar.
“Anggaran kami sebelum ini adalah 60 peratus akan dihantar ke kilang untuk diproses dan 40 peratus lagi untuk dijual segar di pasaran tempatan.
“Sepatutnya harga tidak turun sehingga begini, tetapi kali ini ia berlaku disebabkan terlalu banyak buah durian tidak boleh diproses,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, Malaysia hanya mengeksport sebanyak empat peratus buah durian ke pasaran China setiap tahun berbanding negara jiran, Thailand yang mengeksport duriannya ke China hingga 95 peratus.
“Setahun biasanya 200 tan metrik buah durian yang telah diproses akan di eksport ke China.
“Bagi buah segar pula antara 1,000 hingga 2,000 tan metrik dalam tempoh setahun,” katanya. – UTUSAN ONLINE