Ketum: Tiga penjawat awam, seorang pelajar IPT kaut untung RM18,000 sebulan - Utusan Malaysia

Ketum: Tiga penjawat awam, seorang pelajar IPT kaut untung RM18,000 sebulan

AYOB Khan Mydin Pitchay menunjukkan empat gambar suspek termasuk penjawat awam dan pelajar IPT yang ditahan kerana kesalahan menjual air ketum di daerah Segamat pada sidang akhbar di IPK Johor di Johor Bahru. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga penjawat awam bersama seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) mengaut untung kira-kira RM18,000 sebulan hasil penjualan air ketum sejak enam bulan yang lalu sebelum mereka dicekup dalam serbuan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan empat lelaki berusia lingkungan 22 hingga 43 tahun itu terbongkar setelah diberkas polis dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Segamat, dekat sini bermula pukul 8.10 malam, 2 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan pertama, seorang penjawat awam bersama pelajar IPT masing-masing berusia 39 dan 22 tahun diberkas bersama sejumlah rampasan air ketum.

“Ujian saringan mendapati penjawat awam terbabit positif dadah jenis methamphetamin manakala hasil semakan rekod mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau.

“Susulan serbuan itu, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun bersama sejumlah rampasan air ketum.

“Hasil maklumat dan risikan, satu lagi serbuan dibuat di daerah yang sama dan menahan seorang lagi penjawat awam berusia 43 tahun bersama sejumlah daun ketum dan air ketum,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, dalam siri serbuan tersebut, polis merampas 80 kilogram daun ketum dan sembilan liter air ketum dengan jumlah rampasan sebanyak RM890.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek terlibat dalam aktiviti memasak air ketum untuk dijual kepada pelanggan di sekitar kawasan Segamat dengan mendapatkan bekalan dari negeri-negeri di utara tanah air.

“Hasil jualan air ketum ini untuk dua minggu sahaja RM9,000 dan kalau sebulan dapat RM18,000, jumlah itu pendapatan sebulan jual air ketum sahaja,” katanya.

Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan lanjut dibawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sejak awal tahun hingga 6 Ogos lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah berjaya membuat tangkapan seramai 8,115 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan telah membuat rampasan dadah sebanyak 9.7 tan.

Keseluruhan dadah yang dirampas adalah bernilai RM350.63 juta dengan nilai sitaan bernilai RM26.41 juta,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya