Kes denggi turun mendadak tahun ini - Utusan Malaysia

Kes denggi turun mendadak tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan penurunan kes demam denggi tahun ini dengan merekodkan sebanyak 16,565 kes bagi tempoh Januari hingga semalam berbanding 63,988 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jumlah itu menyaksikan perbezaan sebanyak 47,423 kes bersamaan 74.1 peratus.

Katanya, purata bilangan kes mingguan demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 534 kes seminggu berbanding 1,700 kes seminggu pada tahun 2020 dan 2,500 kes seminggu pada tahun 2019.

“Malah tahun ini, semua negeri di Malaysia menunjukkan penurunan kes demam denggi berbanding tahun lalu dengan penurunan di antara 20 peratus sehingga 94 peratus. 

“Bilangan kematian demam denggi sehingga kini adalah sebanyak 10 kematian berbanding 106 kematian bagi tempoh sama tahun 2020, iaitu pengurangan jumlah kematian sebanyak 96 kematian yang bersamaan 90.6 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adham berkata, semua pihak tidak boleh mengabaikan usaha pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit lain seperti demam denggi kerana kealpaan boleh menyebabkan kejayaan yang dicapai akan terhapus dalam sekelip mata. 

Katanya, masalah yang timbul merumitkan lagi keadaaan kerana Malaysia berhadapan dengan ancaman kesihatan awam berganda dari penyakit denggi sekali gus memberi tekanan tambahan kepada barisan hadapan yang sedang berjuang akibat pandemik Covid-19.

“Di tambah pula, penyakit denggi belum ada vaksin yang benar-benar berkesan untuk melindungi penduduk dari jangkitan berterusan, maka usaha-usaha yang terbukti berkesan perlu diteruskan bagi mengekalkan kejayaan menurunkan beban penyakit denggi.

“Saya berharap komitmen penuh dan kerjasama padu dari penduduk setempat, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan serta sukarelawan COMBI, amat diperlukan untuk bersama-sama menangani isu kebersihan terutama di kawasan perumahan dan tempat tumpuan awam,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya