PETALING JAYA : Kerajaan bersetuju membenarkan taman-taman rekreasi awam bagi negeri-negeri di dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibuka bagi tujuan aktiviti riadah berkuatkuasa 16 Ogos ini, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Muhyiddin, ia bagi memastikan kesejahteraan rakyat dipelihara terutamanya dalam usaha mengurangkan tekanan terhadap kesihatan mental.
Namun kata beliau, hanya aktiviti yang boleh dilakukan secara individu seperti berlari (joging), berbasikal dan bersenam dibenarkan selari dengan prosedur operasi standard (SOP) sukan dan riadah dalam Fasa Satu PPN.
“Orang ramai juga hanya dibolehkan mengunjungi taman-taman rekreasi awam di kawasan kejiranan sahaja. Janganlah rentas negeri atau daerah untuk pergi ke taman rekreasi lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin menjelaskan kebenaran itu amat penting untuk rakyat mendapat lebih masa berada di kawasan yang terbuka dan mempunyai sistem pengudaraan yang lebih baik berbanding hanya terkurung di rumah serta beliau amat berharap agar kemudahan ini tidak disalah guna.
“Ingin saya tegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan yang bertanggungjawab memantau pematuhan SOP di taman-taman rekreasi awam ini, mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat,” katanya.-UTUSAN ONLINE