KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan merancang memulakan pemberian vaksin Covid-19 kepada pelajar sekolah berumur 17 dan 18 tahun di seluruh negeri ini bermula pertengahan September depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, langkah itu dijangka membantu Kelantan mencapai imuniti kelompok lebih cepat.
“Kita buat perancangan untuk vaksin pelajar sekolah bermula pertengahan September ini.
“Ia merupakan sebahagian daripada usaha kita untuk melindungi para pelajar yang bakal memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini hari ini.
Dr. Izani berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Abdul Aziz Kadir (Pas- Jelawat) mengenai kegusaran ibu bapa terhadap perkara itu memandangkan sesi persekolahan bakal bermula tidak lama lagi.
Terdahulu, Dr. Izani berkata, berdasarkan trend vaksinasi yang semakin meningkat kebelakangan ini, imuniti kelompok dijangka dapat dicapai di Kelantan pada akhir September atau pertengahan Oktober.
Sebagai usaha ke arah itu, kata beliau, Kelantan telah memohon tambahan sebanyak 200,000 dos vaksin daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, tidak termasuk 700,000 dos vaksin yang bakal diterima bulan depan.
“Setakat Sabtu lalu, jumlah individu yang disuntik vaksin bagi dos pertama adalah sebanyak 54 peratus manakala dos kedua 34.4 peratus. Jumlah ini meningkat kerana semakin ramai yang mahu divaksin,” katanya. -UTUSAN ONLINE