PARIT: Sebuah menara jam di tengah-tengah pekan Parit di sini yang dikenali Jam besar Parit adalah simbolik kepada kemerdekaan negara dan lambang perpaduan antara kaum penduduk di pekan kecil itu serta masyarakat di Perak Tengah.
Namun tidak dapat dipastikan bila menara jam dengan seni bina Moor dan inskripsi ‘amaran kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu’ itu dibina.
Ada yang mendakwa ia dibina sebelum negara mencapai kemerdekaan dan ada juga mendakwa selepas merdeka.
Presiden Persatuan Pencinta Sejarah Masyarakat Perak (Semarak), Freddie Aziz Jasbindar berkata, pembinaan menara jam besar itu dikaitkan dengan perpaduan penduduk setempat di pekan Parit kerana kos pembinaannya dikumpul hasil sumbangan masyarakat berbilang kaum terdiri daripada orang Melayu, Cina dan India di sekitar Parit.
Selain itu, kerajaan dan syarikat swasta turut menghulurkan sumbangan untuk pembinaannya.
Menurut beliau, Jam Besar Parit adalah satu daripada tujuh menara jam yang dibina di Perak dan dirasmikan pada 20 Januari 1963 oleh Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Kalau kita tengok menara jam ini, ia dibina bukan hanya untuk melihat waktu tetapi adalah satu simbolik tentang kemerdekaan negara serta perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum ketika itu.
“Masyarakat di sini mengumpul duit untuk mendirikan monumen jam ini dan pada menara jam tersebut terdapat nama mereka yang memberi sumbangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Freddie Aziz, sebelum ini, pekan Parit di bawah pentadbiran Daerah Kuala Kangsar sebelum diletakkan di bawah pentadbiran Daerah Perak Tengah sehingga ke hari ini.
“Rekod mengenai jam ini saya rasa mungkin ada di Kuala Kangsar sebab itu kita tak dapat kesan di Parit yang kini dibawah Majlis Daerah Perak Tengah,” katanya.
Freddie Aziz percaya pembinaan menara jam itu disebabkan dahulu Parit adalah satu pekan yang sibuk kerana terletak di laluan utama antara Beruas dan Ipoh.
“Sebab itu dibina satu ikon untuk pekan Parit, sebuah merana jam yang mudah dilihat sesiapa sahaja yang datang atau melalui laluan di pekan ini,” katanya.
Freddie Aziz berkata, loceng asal di menara jam yang dikatakan berasal dari Jerman itupernah dicuri sebelum digantikan dengan pembesar suara sehingga hari ini.
“Jika tak silap saya pada 2018, Penyelaras DUN Belanja ketika itu telah mengubah suai jam ini supaya boleh berbunyi selepas loceng asalnya hilang dipercayai dicuri.
“Sekarang bunyinya menggunakan mekanikal iaitu teknologi baharu, itu yang kita dapat dengar bunyi sekarang. Bunyinya moden tapi jam lama, cuma tambah pembesar suara,” katanya.-UTUSAN ONLINE