JAIS martabatkan pendidikan Islam di Selangor - Utusan Malaysia

JAIS martabatkan pendidikan Islam di Selangor

MOHD. SHAHZIHAN AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM :  Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memartabatkan pendidikan Islam sebagai teras utama menjana guru dan pelajar berkualiti, relevan dan sebagai agen perubahan bangsa dan umat Islam di Selangor.

Menurut Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad , JAIS kini mempunyai 571 komponen yang akan melakukan proses-proses perubahan dan pembinaan ilmuan dan cendekiawan.

“Usaha itu dilaksanakan melalui 13 buah prasekolah, 11 buah Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), 228 buah Sekolah Rendah Agama, 296 buah KAFA Integrasi, 23 buah Sekolah Agama Menengah (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan) dan lima buah Maahad Integrasi Tahfiz Selangor.

“Guru menjadi komponen yang penting apabila seramai 10,000 orang guru akan melaksanakan proses-proses pendidikan kepada seramai 350,000 orang murid di seluruh negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Sambutan Hari Guru JAIS 2021 yang diadakan secara dalam talian di Facebook JAIS hari ini.

Majlis anjuran Bahagian Pendidikan Islam Jais itu dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Mohd. Shahzihan berkata, sistem pendidikan Islam di JAIS telah bermula sejak 73 tahun lalu dan telah memberikan sumbangan melalui kelahiran para ulama dan cendekiawan Islam.

“Tidak kurang juga yang berjaya sebagai golongan teknokrat dan profesional dalam pelbagai bidang kepakaran.

“Saya percaya syiar Islam yang sentiasa meningkat dari tahun ke tahun di negeri ini sebahagiannya adalah hasil sumbangan sistem pendidikan Islam,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menyarankan agar guru-guru JAIS dapat mengamalkan  sikap proaktif, berdaya saing, bersemangat kental, berakhlak mulia dan memiliki ciri-ciri Murabbi Ummah.

Pada sambutan Hari Guru JAIS tersebut, dua tokoh guru di negeri ini turut diumumkan sebagai Tokoh Guru Murabbi Lelaki dan Wanita bagi tahun 2021.

Mohd. Masudi Mohd Yusof, 77, yang juga merupakan Penyelia Naziran Daerah Gombak dipilih sebagai Tokoh Guru Murabbi Lelaki manakala bekas Guru Besar SRAI Dato Mufti Yusoff Sahabuddin, Seksyen 7, Shah Alam, Rusnah Jamali, 60, pula sebagai Tokoh Guru Murabbi Wanita.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN