PETALING JAYA :Bagi mereka yang selalu mendaki gunung dan menikmati suasana dalam hutan, pernahkah anda perhatikan tumbuhan kecil seumpama tanglung pari-pari di denai hutan?
Tanglung pari-pari (fairy lantern) dengan nama saintifik Thismia spp. merupakan tumbuhan berbunga kecil yang tumbuh di tanah kawasan berhutan. Ia tidak menjalankan fotosintesis malah mengamalkan hubungan simbiosis dengan kulat yang membekalkan makanan (habit mikoriza).
Baru-baru ini, pakar botani Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Siti Munirah Mat Yunoh bersama Dr Chris Thorogood, penyelidik di Oxford Botanic Garden, University Oxford serta penyelidik bebas yang juga jurugambar profesional Dome Nikong telah bekerjasama menerbitkan spesies baharu yang dijumpai di Hutan Simpan Hulu Nerus, Terengganu.
Spesies tersebut telah dinamakan Thismia sitimeriamiae, sempena nama ibu kepada Dome (Puan Siti Meriam) yang banyak mendorong dan menyokong kerjaya beliau dalam pemuliharaan spesies terancam di Terengganu.
Sehingga hari ini, terdapat 39 spesies Thismia dijumpai di Malaysia (16 di Semenanjung Malaysia). Siti Munirah juga telah menerbitkan beberapa spesies baharu, iaitu Thismia belumensis, T. domei, T. terengganuensis dan T. kelantanensis.
Berdasarkan garis panduan Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Mengenai Pemuliharaan Semula Jadi (IUCN), kesemua spesies baharu yang diterbitkan kebelakangan ini adalah spesies tanglung pari-pari tergolong dalam kategori terancam. Ini adalah kerana, status habitatnya yang sensitif kepada sebarang gangguan dan aktiviti manusia atau pun haiwan.
Pemuliharaan biodiversiti dalam negara kita sangat penting kerana terdapat khazanah yang masih belum dijumpai atau diberikan nama oleh saintis. Penemuan spesies baharu menunjukkan kepentingan aktiviti penyelidikan biodiversiti yang perlu diteruskan dengan lebih rancak lagi seiring dengan usaha pemeliharaan hutan kita demi kelestarian khazanah biodiversiti negara.
Menurut Siti Munirah penemuan spesies berkenaan menunjukkan hutan tropika dimiliki negara ini kaya dengan spesies yang unik yang tiada di tempat lain di dunia dengan merujuk spesies baharu yang dijumpai di Terengganu.
“Oleh kerana figura Thismia ni sangat kecil, selalunya tidak terperasan oleh mata kita masih banyak aspek yang tidak diketahui tentang kebanyakan spesies ini
“Pentingnya aktiviti berkaitan hutan untuk menjalankan prosedur yang lestari dan mengambil kira semua jenis kepelbagaian bodiversiti, tidak semestinya hanya pokok besar tetapi si Thismia yang kecil juga menyumbang kepada ekosistem hutan tropika kita yang dinamik, “ ujarnya kepada Utusan Online
Berkongsi lebih lanjut Siti Munirah berkata, bagi spesies Thismia sitimeriamiae, ia kali pertama pertama kali dijumpai pada 2019 oleh Dome, kemudian sebelum beliau saya ke juga ke lokasi pada feb 2020
Bagi Thismia sitimeriamiae, untuk sehingga kini, hanya direkodkan dijumpai di lokaliti asal sahaja. Tiada lagi maklumat ianya dijumpai ditempat lain
Beliau berkata, kebanyakan spesies yang muncul dan diterbitkan dari Semenanjung Malaysia semua endemik
“Thismia belumensis endemik Hutan Royal Belum, Thismia kelantanensis endemik Gunung Chamah Kelantan, Thismia domei dan Thismia terengganuensis endemik Terengganu, “ ujarnya lagi.
Antara spesies yang bukan endemik adalah Thismia iaitu taburannya di beberapa negeri di Semenanjung juga ditemukan di Thailand.
Berdasarkan rekod Thismia fumida pernah dijumpai di Petaling, Selangor (collections made by Ridley in the 1880..)
Justeru katanya, perubahan status sesuatu hutan yang tidak lestari di samping tiada usaha konservasi (ex-situ) akan memberi kesan ekstrem pada status sesuatu spesies yang menjadi aset biodiveriti negara kita
Bagi spesies Thismia sitimeriamiae, harapannya hutan Hulu Nerus akan terus kekal sebagai hutan sihat tanpa ada aktiviti lain untuk mengubahnya..
Ini kerana penemuan pelbagai spesies unik membuktikan lantai hutannya sangat sihat dan perlu terus dilindungi, malahan hutan tersebut sesuai untuk di perkasakan dari sudut pendidikan kepelbgaian biodiversiti hutan dan kepentingannya kepada manusia kerana lokasinya yang dikira agak tidak jauh dari Kuala Terengganu pusat ekoupelanconghan
Malahan Hutan Simpan Nerus menawarkan pelbagai jenis vegetasi dari tanah rendah kepada gunung, keunikan sungai, dengan warna airnya dan strukturnya sesuai untuk pelbagai lapisan masyrakat.- UTUSAN ONLINE